MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, sekali lagi meningkatkan usaha memberi sokongan kepada usaha pelbagai bantuan COVID-19 bagi melawan pandemik itu yang masih mengganas di Malaysia.
Hari ini, tiga kenderaan Mitsubishi telah dipinjamkan dan sebanyak RM20,000 disumbangkan kepada Mercy Malaysia untuk membeli 400 unit sut Tyvek yang kemudiannya diserahkan kepada petugas barisan hadapan di tiga Pusat Penilaian Covid-19; Stadium Melawati, Stadium Jugra dan Klinik Kesihatan Gombak Setia. Mitsubishi Motors turut membeli barang-barang keperluan bernilai RM43,000 untuk Pusat Penilaian Covid-19 di Hulu Langat.
Memandangkan jangkitan Covid-19 masih di tahap membimbangkan di Malaysia, Mitsubishi Motors ingin memainkan peranan dalam melandaikan keluk dengan bekerjsama dengan Mercy Malaysia. Bagi memudahkan petugas barisan hadapan bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sebuah trak pikap Triton dan dua buah SUV 7 tempat duduk Outlander telah dipinjamkan.
Manakala, sumbangan kewangan pula akan membantu pekerja kesihatan menjalankan imbasan meluas kepada pembawa virus, mengesan kontak, mengasingkan pesakit yang telah dijangkiti dan juga memberi penjagaan kepada golongan yang memerlukan.
Terdapat beberapa lagi inisiatif yang diusahakan oleh Mitsubishi Motors termasuk menyumbang barang-barang keperluan kepada Pusat Penilaian Covid-19 seperti khemah, meja, kerusi, unit pendingin hawa bergerak, penyekat barisan dan kabel-kabel berat.
Para pesakit yang berada di pusat Penilaian Covid-19 akan dinilai terlebih dahulu sebelum dihantar ke hospital, dikuarantin di pusat rawatan atau diarahkan menjalani kuaranti di rumah sahaja. Pusat Penilaian Covid-19 yang dibantu oleh Mitsubishi Motors ini boleh menampung seramai 400 pesakit sehari.