Seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila kerugian RM223,000 gara-gara terpengaruh dan terpedaya dengan Iklan jualan kereta terpakai di Facebook. Mangsa yang berusia 48 tahun Itu dikatakan tertarik dengan Iklan jualan kereta Honda Civic 1.5 (2016) dari Singapura yang ditawarkan pada harga RM17,800.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa menghubungi nombor talian tertera dan berhubung dengan seorang wanita yang mendakwa menguruskan pembelian kenderaan itu.
Mangsa kemudiannya diminta membuat transaksi wang ke akaun yang diberikan termasuk membuat pembayaran lesen import (AP) dan Kastam sebagai ‘covering’ sejak Mac lalu.
“Bermula 13 April hingga 19 Mei lalu, mangsa telah membuat sebanyak 59 transaksi pindahan wang berjumlah RM223,220 secara dalam talian ke 15 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek. Bagaimanapun, sehingga kini kereta berkenaan tidak diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Mangsa juga mengakui membuat pembayaran menggunakan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Tambah beliau, semakan mendapati salah satu nombor akaun yang digunakan suspek didapati berkait dengan sembilan laporan polis menggunakan modus operandi sama.
Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati. Orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Sumber : Sinar Harian