Penggiat modifikasi stance & fitment telah mengadakan sesi pertemuan di Pantai Balok Pahang pada 4 Ogos yang lalu. Dianjurkan DMS dengan kerjasama BoysToys dan SimpleAndLow, ia telah menyatukan beberapa komuniti yang bergiat aktif dengan corak modifikasi ini.
Mengambil ilham dari sesi pertemuan yang sering dilakukan oleh peminat permotoran di luar negara, acara ini memberi ruang kepada mereka untuk berkumpul dan bersantai tanpa mengira jenis kenderaan yang dipandu. Lebih menarik, ia diadakan di kawasan tepi pantai yang tentunya menawarkan suasana berbeza. Walaupun tanpa aktiviti khusus, ia tetap menerima sambutan yang menggalakkan termasuk kehadiran wakil media tempatan dan antarabangsa.
Peluang meninjau setiap jentera yang mengambil bahagian digunakan sepenuhnya orang mereka yang hadir. Selain bertemu rakan-rakan, kesempatan ini juga membolehkan mereka menambah kenalan dan berkongsi cerita tentang modifikasi. Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan ruang kepada mereka yang berminat, menjual cenderamata dan aksesori kenderaan di sini.