Bangkok International Auto Salon (BIAS) kembali lagi pada 4-8 Julai yang lalu di Pusat Pameran Impact, Muang Thong Thani, Bangkok Thailand. Diasaskan oleh francais terkenal Auto Salon yang mengendalikan Tokyo Auto Salon (TAS) di Jepun, BIAS merupakan acara tahunan yang kian mendapat di kalangan penggiat industri hiliran automotif, khasnya di rantau ini.
Pameran ini boleh disifatkan antara yang terbesar di Asean, dengan memberi tumpuan kepada dunia talaan dan modifikasi. Ia mengetengahkan puluhan pemain industri talaan yang terkenal seperti Liberty Walk, Work Wheels, Cusco, Enkei, Spoon, termasuk dari Negara Gajah Putih sendiri. Selain itu, jenama pengeluar seperti Honda, Isuzu, Nissan, Suzuki, Toyota, Mazda, BMW, Mini, Kia, Royal Enfield, Benelli, Yamaha dan lain-lain turut mengambil bahagian.
Kualiti jentera yang dipamerkan sentiasa meningkat saban tahun. Sebahagian besarnya dimiliki oleh syarikat talaan tempatan dan pemilik persendirian, termasuk yang dibawa khas dari Jepun. Beberapa acara sampingan yang diadakan, turut menarik minat pengunjung ke pameran ini.
Walaupun saiznya tidak sebesar TAS, namun kesungguhan penganjur untuk mengangkat industri ini supaya lebih diiktiraf dan berdaya saing wajar dipuji.
Foto: Shah Bahulu @ ADAM Photography