Malaysian Drift Challenge 2018 telah berlangsung di Litar Speedway Plus, USJ Selangor pada 29 & 30 Disember yang lalu. Ia telah dijayakan bersama oleh Kelab Sukan Permotoran Langkawi, Kelab Sukan Bermotor Integrasi dan Exquisite Motorsport, Comma Motorsports serta Motorsports Association of Malaysia (MAM).
Perlumbaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Super 15 dan Super Open. Bagi kategori Super 15, ia dikhususkan untuk jentera yang menggunakan tayar bersaiz 15 inci. Manakala kategori Super Open, terbuka kepada semua termasuk jentera Super 15.
Sebanyak 30 buah jentera telah mengambil bahagian termasuk tiga orang peserta dari Sabah. Tiga orang juri profesional bertugas mengadili perlumbaan dari aspek berbeza, diketuai oleh Tengku Djan Ley (Prince of Drift Malaysia), sambil dibantu Mervyn Nakamura dan Shahril Ibrahim (Warnbro).
Perlumbaan Super 15 dimenangi oleh Farhan Baharom (Toyota KE70) selepas menewaskan Mah Lao (Silvia 200SX) pada pusingan akhir. Sementara Eric Wong (Toyota AE86), berjaya menundukkan cabaran Jay Choong (Silvia S14) untuk penentuan tempat ketiga.
Cabaran Super Open ternyata lebih sengit. Memasuki pusingan akhir, Tan Tat Wei (Silvia 180SX) perlu berdepan Wilson Chang (Silvia 180SX) untuk penentuan tempat pertama. Aksi cemerlang yang ditunjukkan Tan Tat Wei memberi kelebihan kepada beliau untuk muncul selaku juara. Podium ketiga pula dimenangi Lee Mun Hoong (Silvia S14), selepas berjaya menyekat kemaraan Rocker Loh (Silvia S15).
Foto: Abdul Malik @ Speed Legacy