Buat julung kalinya, pameran modifikasi International AutoModified (IAM) telah diadakan di Malaysia pada 8 dan 9 Disember yang lalu, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Diadakan di 18 lokasi sekitar Indonesia dan Thailand, IAM merupakan siri pameran automotif terbesar Asean yang berjaya menarik lebih dari 2500 penyertaan, sejak diperkenalkan kira-kira 18 tahun lalu.
Penganjuran IAM Kuala Lumpur ini merupakan usahasama antara Nisei Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat Malaysia dengan PT HIN Promosindo dari Indonesia. Kepada yang mengikuti perkembangan industri pameran ini, PT Promosindo menerusi HIN Prestige Sdn Bhd juga pernah menganjurkan siri pameran Hot Import Nights di Malaysia pada tahun 2012 dan 2013.
IAM Kuala Lumpur bukan saja menyaksikan barisan kereta dari penggiat modifikasi tempatan, tapi turut menerima pernyertaan negara jiran Singapura dan Thailand. Mereka bernaung di bawah nama garaj dan komuniti permotoran seperti Static365, Adam Photography, BlackMailz, Duck Team, Garage Life, BAR, Art Of Speed, BWB, Lebai Game dan lain-lain.
Acara ini menyediakan puluhan kategori pertandingan, sekaligus memberi ruang kepada para peserta mempamerkan kehebatan kereta masing-masing. Selain itu, pihak penganjur turut mengadakan aktiviti selingan untuk hiburan para pengunjung seperti pertandingan DJ, persembahan pentas, serta kehadiran HIN Girlfriends bagi menyerikan lagi suasana pertandingan.
Walaupun pertama kali diadakan, IAM Kuala Lumpur tetap mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk sokongan daripada syarikat berkaitan automotif seperti Pulzar Malaysia, Prince Lubricants, Kasor Detailing, Autovision, Uber Garage dan banyak lagi. Semoga acara ini kembali menggegarkan dunia permotoran pada masa hadapan.
Foto: Sufiyan Azlan @ Static365