Caldina Club Malaysia (CCM) telah mengadakan sambutan ulang tahun ke-11 pada 8 & 9 Disember lalu, bertempat di Rainbow Paradise Beach Resort, Pulau Pinang. Seperti tahun sebelumnya, ia menerima sambutan amat menggalakkan apabila disertai hampir 120 orang ahli kelab dan keluarga masing-masing dari seluruh pelusuk negara.
Pergerakan konvoi diatur mengikut zon yang telah ditetapkan. Bagi peserta Lembah Kelang, mereka diminta berkumpul di R&R Rawang pada jam 7.00 pagi untuk sesi taklimat dan persediaan awal konvoi. Mereka kemudian singgah seketika di R&R RTC Gopeng, sebelum bergabung dengan kumpulan peserta dari utara di R&R Juru untuk ke lokasi penginapan.
Menjelang petang, para peserta diminta berkumpul di pantai berhampiran untuk aktiviti sukaneka. Ini disusuli majlis makan malam dengan tema 90an pada sebelah malamnya. Selain penyampaian hadiah dan cabutan bertuah, mereka turut menyerahkan sumbangan ikhlas kepada anak-anak dari Sekolah Agama Tarbiah, Sekolah Agama Al Itqan dan Madrasah Al Ulum, yang diraikan dalam majlis ini.
Aktiviti hari kedua tertumpu kepada pertandingan autoshow yang diadakan pada sebelah pagi. Terdapat 4 kategori yang disediakan iaitu Senior, GT4 Newbies, ZT Newbies, termasuk pemilihan Juara Keseluruhan. Selesai sesi penyampaian hadiah, kesemua peserta mula mendaftar keluar dan mengatur perjalanan pulang ke lokasi masing-masing.