Shemud merupakan cabaran perlumbaan 4×4 ekstrim khusus untuk golongan wanita. Diasaskan oleh Narimah Samat, ia bertujuan untuk menggalak, memperkasa, serta membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu menyahut cabaran sukan lasak seperti ini.
Ketika mula dianjurkan, ramai ragu-ragu tentang kemampuan golongan wanita berlumba dalam sukan ekstrim ini. Namun setelah 3 tahun diadakan, ia berjaya membuka mata banyak pihak sehingga diiktiraf sebagai acara bertaraf antarabangsa. Kehadiran peserta luar ini turut membawa pasukan, penyokong dan kumpulan media, sekaligus menggalakkan sektor eko pelancongan.
Edisi ketiga telah berlangsung pada 13 hingga 18 November yang lalu, di Kem Anugerah Alam, Sungai Batangsi Semenyih dan sekitar Cyberjaya. Sebanyak 9 pasukan telah mengambil bahagian, meliputi 8 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Ecuador, Sri Lanka, Australia, Ukraine dan Kazakhstan.
Perlumbaan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu Rookie, Medium dan Extreme. Mereka perlu menempuh cabaran serta laluan SS yang telah ditetapkan. Untuk edisi kali ini, ia dimenangi pasangan Yeo Kwee Choo dan Vivian Chong Swee Fern dari Team Blazer Malaysia, apabila berjaya mengharungi kesemua SS dengan kutipan mata hampir sempurna.
Foto: Last Hope