Proton telah melancarkan model Proton X70, yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Proton X70 adalah model SUV premium lima tempat duduk pertama, hasil kerjasama Proton dan Geely. Ia akan menjadi pemangkin kepada jenama Proton, dalam usaha menembusi segmen pasaran yang baru.
Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Kesemua varian ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu 1.8 liter turbo TGDi dengan kotak gear automatik 6 kelajuan, yang mampu menghasilkan 184PS kuasa dan 285Nm tork.
Sebagai model SUV premium, Proton X70 tampil dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu, yang menjadi penghubung pintar untuk aplikasi muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca, pengecaman suara dan lain-lain. Kesemua varian turut menerima ciri keselamatan termaju seperti enam beg udara, Isofix, sistem brek anti kunci (ABS), pengagih brek elektronik (EBD), bantuan membrek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem kawalan cengkaman (TCS), bantuan kawalan cerun (HHA), kawalan menurun cerun (HDC), serta isyarat berhenti kecemasan (ESS). Malah Proton X70 juga menerima pengiktirafan lima bintang dalam ujian penilaian keselamatan ASEAN NCAP.
Proton X70 ditawarkan pada harga asas bermula dari RM99,800 hingga RM123,800. Untuk maklumat lanjut, kunjungi bilik pameran Proton yang berhampiran dengan anda.