Selepas penganjuran pertama di Kedah pada 2016, Malaysia Super KCar Mega Gathering kembali menggegar dunia kereta kompak tanah air pada 2 Februari lalu di MAEPS, Serdang. Dijayakan oleh komuniti khas yang dibentuk, ia berjaya menarik minat ribuan peminat dan pemilik kereta kompak dari seluruh pelusuk negara.
Objektif penganjuran bertujuan untuk mengumpul sebanyak mungkin model kereta kompak dan kenderaan yang setara dengannya. Mereka menetapkan untuk mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records sebagai himpunan kereta kompak terbesar di negara ini.
Para peserta mula tiba di tapak acara seawal jam 8.30 pagi. Bagi yang ingin menyertai pertandingan autoshow, mereka diarah menyusun kereta di ruang utama bagi memudahkan proses pemarkahan. Sebanyak 43 kategori disediakan yang menawarkan hadiah tempat pertama hingga kelima. Keadaan ini tentunya menggembirakan dan memberi lebih peluang kepada mereka memenangi hadiah.
Sekitar jam 5.00 petang, wakil Malaysia Book Of Records dibawa melihat kaedah penjumlahan. Mereka turut meninjau barisan kereta yang mengambil bahagian. Setelah berpuas hati mereka akhirnya mengumumkan jumlah kehadiran sebanyak 2020 buah kereta, sekaligus mencatat rekod sebagai perhimpunan kereta kompak terbesar di Malaysia.
Selain peluang berkumpul dan bertemu rakan-rakan, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti aktiviti jualan, persembahan pentas, serta cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik. Acara diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah yang berlarutan hingga jam 9.00 malam.
Walaupun tanpa sokongan dana dari mana-mana syarikat, acara ini masih mampu dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama hampir 80 buah bengkel dan perniagaan yang mengusahakan barangan kereta kompak. Tahniah diucapkan kepada penganjur serta semua yang tenjayakan acara ini.