Buat julung kalinya, komuniti trak pikap dari seluruh negara telah mengadakan pertemuan di utara tanahair, sempena dengan Kedah International Pickup Carnival 2018. Berlangsung di Taman Jubli Emas, Alor Setar Kedah, pada 31 Ogos dan 1 September yang lalu, karnival dua hari ini menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila disertai ratusan trak pikap, sama ada mewakili kelab, bengkel, mahupun pemilik individu.
Kemeriahan acara ini ditambah dengan kehadiran peserta dari Thailand. Mereka tiba dengan barisan jentera terbaik, khusus untuk tujuan pertunjukan. Selain meninjau jentera yang dipamerkan, para pengunjung juga berpeluang membina rangkaian perniagaan, menambah kenalan serta bertukar pandangan tentang dunia modifikasi.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang acara berlangsung. Antaranya pertandingan autoshow yang dibahagikan mengikut kategori tertentu. Tidak ketinggalan demonstrasi drift dan drag, jualan produk dan aksesori, persembahan pentas, cabutan bertuah, juga aktiviti riadah untuk seisi keluarga.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Mohd Asmirul Anuar Aris, Exco Belia Sukan Negeri Kedah, diiringi Tuan Haji Ishak Murat, Timbalan SUK Negeri Kedah dan Tuan Haji Yahaya Sani, Pengarah Mara Negeri Kedah. Mereka turut dibawa ke tapak acara, untuk meninjau jentera-jentera yang mengambil bahagian. Acara berakhir sejurus selepas sesi penyampaian hadiah kepada pemenang.
Foto: Shah Bahulu @ ADAM Photography