Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Red Adventure, Jabatan Hutan dan Organic Touch, telah menganjurkan Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) pada 31 Ogos hingga 2 September yang lalu, bertempat di Taman Alam Liar Negeri Sembilan. Seramai 30 orang kakitangan MBPJ telah mengambil bahagian, diiringi 2 orang fasilitator serta 12 buah kenderaan pacuan empat roda.
Kumpulan peserta diminta berkumpul di bangunan MBPJ pada jam 10.00 pagi. Selepas melakukan persiapan, mereka mula bergerak secara konvoi menerusi laluan Cheras-Semenyih. Perjalanan kemudian diteruskan ke Kuala Kelawang dan tiba di Taman Alam Liar Negeri Sembilan pada jam 4.45 petang. Sejurus selesai sesi taklimat, kesemua peserta mula memasang khemah masing-masing, diikuti pembahagian kumpulan pada sebelah malamnya.
Para peserta dibawa menjelajah ke Jeram Berungut pada hari kedua. Ia mengambil masa kira-kira 45 minit menyusuri laluan anak sungai. Ketika di sana, mereka diajar teknik asas kemahiran hidup, sebelum kembali ke kem pada jam 12.00 tengahari. Di sebelah petang pula diadakan program menyelamat dan kecemasan, termasuk sesi permainan secara berkumpulan. Mengisi slot sebelah malam adalah sesi penggulungan, majlis makan malam, aktiviti BBQ, serta taklimat produk oleh Organic Touch.
Acara explore race mengambil tempat pada pagi hari ketiga. Ia disusuli dengan program penutup, penyampaian hadiah, serta sesi taklimat oleh Jabatan Hutan. Selepas bersiap dan membersihkan kawasan perkhemahan, mereka mula meninggalkan kem pada jam 1.00 petang.
Foto: Last Hope