Khusus untuk pemilik dan peminat Proton Satria, Satria Day Malaysia telah menganjurkan acara Satria Day Two, bertempat di MAEPS Selangor pada 15 September yang lalu. Ini merupakan tahun kedua ia diadakan dan menerima sambutan amat menggalakkan apabila disertai hampir 3,000 buah kereta, meliputi pelbagai kelab dan komuniti dari seluruh negara.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk meraikan para pemilik Satria, yang masih setia dengan model hatchback Proton ini. Selain mengeratkan hubungan silaturahim, kesempatan berkumpul seperti ini juga membolehkan mereka bertukar pendapat dan meninjau tentang corak modifikasi rakan-rakan yang lain. Sebagai tanda sokongan, mereka turut mendapat tajaan pelbagai pihak seperti MotoNation, Pulzar Malaysia, H3 Auto Sdn Bhd, Muteki Malaysia, Addin Car Sunroof Specialist, K3 Pit Motor dan Tint Expert Garage.
Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang acara berlangsung. Antaranya pertandingan autoshow, acara pentas, promosi produk, gerai pameran, serta perlumbaan Satria Day Drive Challenge yang dikendalikan oleh Sucimuci Motorsport. Ia turut diselangselikan dengan sesi cabutan bertuah, yang menyediakan pelbagai hadiah menarik.
Pertandingan autoshow dibahagikan kepada 16 kategori seperti Best GTI, Best Engine Bay, Best Neo, Best JDM, Best MDM, Best Interior, Best Stance, Best Bodykit dan lain-lain. Di akhir acara, kesemua pemenang diminta ke pentas utama untuk penentuan kategori Best Of The Best. Tidak ketinggalan pemilihan kelab dan komuniti terbaik, serta cabutan bertuah hadiah utama.
Pihak penganjur ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat. Walaupun cuaca kurang mengizinkan, komitmen dan kerjasama yang diberikan amat membantu menjayakan acara ini.
Laporan: Megat Klang
Foto: AD Creative Studio (Amirul Adly Mohd Yusof)