Selepas 8 tahun dihentikan, MUSC Motorsports kembali menganjurkan siri perlumbaan khusus untuk peminat sukan drag di Lembah Kelang. Berlangsung di Persiaran Rimba Permai Cyberjaya pada 23-24 Februari yang lalu, ia merupakan program peringkat kebangsaan yang akan membawa perlumbaan ini menjelajah ke bandar-bandar utama seluruh tanah air.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Belia & Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abd Rahman. Yakin dengan aspirasi golongan muda, beliau amat berbesar hati dan menyatakan sokongan terhadap penganjuran acara permotoran seperti ini. Kejayaan menganjurkan siri perlumbaan ini juga adalah hasil sokongan badan-badan kerajaan, DAR Motorsport selaku penaja utama, serta barisan penaja bersama yang lain.
Perlumbaan ditetapkan pada jarak 201 meter, memandangkan ia dijalankan di kawasan litar jalanan. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan para peserta dan pengunjung. Kemunculan semula nama-nama besar dalam sukan drag, turut membantu merancakkan lagi siri perlumbaan ini.
Jadual hari pertama melibatkan enam kategori khusus untuk perlumbaan kereta iaitu NA <1.8 True Street, VTEC/2WD Turbo True Street, Magma/Campro Pro Street, KCar <1.3 Pro Drag, VTEC/2WD Turbo Pro Drag dan King Pro Drag. Dalam pusingan kali ini, Shahin Danial Suzaimi dari pasukan Ferlin Tune Up yang memandu Daihatsu Charade AWD, berjaya mencatat masa terpantas 6.385 saat.
Perlumbaan motosikal yang berlangsung pada hari kedua juga dibahagikan kepada enam kategori iaitu 4T <150 True Street, 2T <150 True Street, 4T <110 Pro Street, 2T <150 Pro Street, 4T <150 Pro Drag dan 2T <150 Pro Drag. Untuk acara ini pula, Kecik Super dari pasukan Danish Motor Wen Racing Project berjaya mencatat masa terpantas 6.628 saat, sekaligus mengatasi cabaran peserta lain.
Selain acara ini, pihak MUSC Motorsports juga akan mengadakan perlumbaan MUSC Cyberjaya @ Dengkil Drag Battle 2019. Ia bakal menjadi acara tetap yang akan diadakan di lokasi yang sama hampir setiap bulan. Untuk jadual penuh perlumbaan, layari Facebook: MUSC Motorsports
Foto: MUSC Motorsports / Perotography