UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasminya telah memperkenalkan Toyota GR Supra serba baharu untuk pasaran Malaysia. Tidak seperti negara-negara lain, UMWT hanya menawarkan satu pilihan iaitu varian paling berkuasa dengan spesifikasi GTS.
GR Supra GTS ini datang dengan enjin turbo 6 silinder bersesaran 3.0 liter, yang boleh menghasilkan 340 PS kuasa serta 500 Nm tork. Dipacu sistem transmisi automatik 8 kelajuan ke roda belakang, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dengan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Dinamik pemanduan dipertingkatkan dengan agihan berat 50:50 yang seimbang, serta ciriAdaptive Variable Suspension (AVS) terkini. Pemandu juga boleh menyesuaikan beberapa fungsi talaan lain untuk mendapatkan prestasi yang diinginkan. Ciri-ciri keselamatan juga tidak dilupakan seperti sistem brek Brembo dengan fungsi ABS, EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), serta sistem bantuan pemanduan yang lain-lain.
Walaupun direka untuk pemanduansporty, ruang dalaman tetap menampilkan ciri-ciri ketelitian dan keselesaan. Sesuai dengan statusnya sebagai model flagship, ia datang dengan senarai kelengkapan terkini, seperti kawalan pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, kerusi balutan kulit, skrin paparan 8.8-inci, kerusi larasan elektrik, serta sistem audio dengan 12 pembesar suara JBL.
Harga atas jalan tanpa insurans untuk Toyota GR Supra ini bermula dari RM 568,000. Terdapat 8 warna pilihan yang ditawarkan iaitu Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Matte Storm Grey Metallic, Black Metallic dan Ice Grey Metallic. Ia boleh didapati menerusi pengedar UMWT dengan pengiktirafan GR Garage.