Dalam dunia enjin super Jepun, ramai yang setuju jika dikatakan bahawa RB26DETT berada di hadapan.
Telah terbukti bahawa enjin 6 selinder sebaris Skyline GT-R ini berkuasa, senang diubah suai dan tahan lasak. Tidak ramai yang meletakkan enjin 2JZ Toyota di depan.Selepas saya membuat sedikit penyelidikan, enjin 2JZ sebenarnya sama potensi dengan RB26DETT. Tetapi kenapa prestasinya tidak dibangga-banggakan?
Eksklusiviti. RB26DETT hanya dibuat untuk Skyline GT-R. Tidak ada kereta Nissan lain yang menggunakan enjin melainkan GT-R. Berbeza dengan 2JZ, ia bukan sahaja digunakan oleh Supra JZA80. Malah , ia turut dikongsi oleh Lexus, Crown, Chaser dan beberapa model lain.
Apabila dah banyak berkongsi, ini bererti banyak spesifikasi dan jenis transmisi. Sedangkan RB26DETT tidak ada versi auto. Eksklusif untuk manual enam kelajuan dan HICAS.
Toyota mengeluarkan banyak versi sports pada kereta mereka. Kalau Supra ialah sports jalanan, Toyota ada versi sports mewah. Namanya Soarer, juga terdapat dalam lencana Lexus yang dikenali sebagai SC300/SC400. Kereta ini dibina berdasarkan casis Z30, termasuklah model UZZ yang menggunakan enjin V8 VVTi.
Ini model JZZ30, versi orang kaya yang tidak mahu beli Supra dengan enjin detuned 1JZ 2500cc twun turbo. Masa keluar dulu, reka bentuk kereta ini agak pelik sebab dua generasi Soarer sebelumnya mempunyai rekaan berkotak-kotak. Saya rasa, tak berapa ramai yang kurang minat dengan model ini sebab rata-ratanya dipasang dengan transmisi auto. OK. Bila anda tengok sebuah kereta sports mewah maka transmisi automatik selalunya pilihan yang tepat.
Bagaimanapun, model yang dimiliki Prem agak rare kerana ia versi manual. Bila membeli kereta ni beberapa tahun lepas, Prem mahukan sebuah kereta sport dengan imej. Tidak membeli Supra, sebaliknya dia mencari Soarer yang memakan masa berbulan-bulan lamanya. Nasib dia sangat baik. Dahlah dapat Soarer, manual pula tu.
Sebaik sahaja dapat kereta ini, Prem mula cari idea buat modifikasi. Cari punya cari, barulah sedar susahnya bila tak banyak tuner Jepun yang mengambil model ni untuk dijadikan platform.
Nasib baik juga enjin 1JZ ialah enjin kebangsaan modifikasi yang banyak ruang untuk dibuat. Pertama, dia menukar sistem turbo kepada turbo jenis tunggal Garret AR50. AR50 tidaklah besar sangat, tapi cukup untuk spooling enjin yang tidak diusik langsung pada bahagian dalamannya.
Aksesori lain yang dipasang ialah wastegate Turbosmart 48mm dengan injap blow-off HKS SSQV. Palam pencucuh digantikan dengan NGK Iridium. Sistem ekzos pula dibesarkan dengan paip 3 inci yang diakhiri peredam bunyi APEXi jenis twin sebab kereta ni memang ada twin muffler. Nasib baik jumpa set asal di kedai potong yang siap dipotong dari centre mufflernya. Satu dalam seribu nih!
Tekanan boost ditetapkan pada 1.4 bar maksimum. Tak ada masalah kalau nak boost tinggi, cuma tak pastilah bocor ke tidak piston standard kereta ni. Setting ini dibuat menggunakan komputer HKS F Con Vpro yang ditala oleh sebuah bengkel rahsia di Shah Alam.
Sebenarnya, ada banyak lagi potensi yang boleh dibuat, tapi setakat ini Prem membiarkan saja sebab berpuas hati dengan prestasinya. Lagipun, kereta ni dia bawa hari-hari. Kalau dengan turbo besar, alamatnya koyaklah kad kredit isi minyak.
Modifikasi seterusnya ialah sistem suspensi yang kini menggunakan set boleh laras daripada TEIN. Damper jenis boleh laras ni tak perlu dilaras terlalu rendah sebab titik graviti kereta sudah rendah. Jadi bila rendah sekalipun, tidaklah ia melenting-lenting apabila dipandu di jalan tak rata. Brek tak diusik melainkan pad brek Endless dipasang di depan dan Bendix di belakang.
Rim yang sesuai untuk kereta sport klasik tahun 1990-an ini ialah jenis mesh. Begitu cocok sekali apabila dipadankan dengan Volks Racing 18 inci. Terus terang cakap, saya memang suka model VSXX ini dari dulu lagi. Apabila dipadankan dengan coupe jenis FR maksudnya boleh pilihan dari jenis rim besar kecik atau jantan betina yang memang banyak di pasaran.
Rim ini dibalut dengan tayar Dunlop berukuran 245/45 di depan dan 265/40 di belakang. Lama-lama tengok, nampak kecil pula rim ni, mungkin 19 lebih afdal menurut kata hati saya.
Sebaik masuk ke bahagian dalaman, ia memang nampak mewah. Tempat duduk dibalut kulit dan kemasannya berwarna beige. Peralatan tambahan yang ada ialah sebuah boost meter dan pemasa turbo, kedua-duanya daripada APEXi.
Kata Prem, bahagian luar kereta ini masih standard. Tetapi bila diamati, bampar depannya lain sikit. Kalau tak silap, ini macam bampar Origin. Bahagian belakang yang ada apron kecil tu tak berapa pasti. Prem hanya pasang pelekat karbon pada bonet depan sahaja.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ