Pada awal era 80-an, pasaran kereta sedan kompak berprestasi lebih dikuasai jenama dari Eropah. Pengeluar seperti BMW, Mercedes, Audi dan Alfa-Romeo, merupakan antara pelopor dalam segmen ini. Paling mendapat tempat barisan BMW 3-Series, yang memiliki segala elemen yang diperlukan.
Pengeluar dari Jepun agak ketinggalan dalam persaingan ini. Ketika itu, tumpuan mereka lebih kepada penghasilan model-model sport untuk memenangi pasaran. Menyedari hal ini, Toyota tampil memperkenalkan Altezza sebagai jawapan kepada segmen sedan kompak berprestasi yang diperlukan. Lebih menarik, proses membangunkan kereta pacuan belakang ini telah diserahkan kepada Nobuaki Katayama, jurutera yang bertanggungjawab menghasilkan model lagenda Toyota AE86!
Altezza paparan ini dikuasakan oleh enjin 2-liter 1G-FE, yang hanya menghasilkan kuasa sekitar 160hp. Jujurnya, ia tidak dibina untuk tujuan prestasi sebaliknya menawarkan penggunaan bahan api yang efisyen. Memandangkan harga semasanya yang makin masuk akal, peminat modifikasi seperti Alvin mula memilih kereta pacuan belakang ini sebagai platform ubahsuai yang menarik.
Walaupun boleh menggunakan enjin BEAMS 3S-GE, Alvin telah memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang lebih berkuasa. Terpampang di ruang enjinnya merupakan nadi 1JZ-GTE VVTi dari Toyota Mark II JZX110, yang diberi beberapa peningkatan lebih meyakinkan.
Bahagian bawah digantikan dengan blok enjin 2JZ-GE, termasuk padanan set bearing Clevite dan crank pulley Fluidampr. Bahagian atas pulak dipadankan dengan set camshaft HKS 256/264°. Bagi memudahkan proses talaan, sepasang cam pulley HKS turut dipasang di bahagian ini. Memastikan ia duduk dengan selesa, cagak enjin perlu menggabungkan komponen milik 2JZ dengan 3S-GE.
Binaan sistem pendesak juga tidak kurang hebatnya. Ia kini dikuasakan oleh unit turbo tunggal BorgWarner EFR7670, yang ditenggek pada sebuah manifold turbo kustom, lengkap bersama unit actuator Turbosmart IWG-75. Proses sejukan boost dibantu sebuah intercooler HKS dan paip sambungan kustom, sebelum lebihan tekanan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS Racing Type 1.
Bekalan bahan api dibawa masuk oleh pam petrol Elixir 500, sebelum ditembak menggunakan set penyuntik Injector Dynamics ID1000. Kadar tekanan petrol kemudian dikawal oleh unit regulator Fuelab. Sementara kuasa cucuhan dibantu pek koil 1NZ-FE, sebelum unit ECU Emtron KV8 menyelia keseluruhan ubahsuai yang telah dilakukan.
Sistem sejukan juga antara yang menarik untuk diperhatikan. Selain radiator aloi Forged Racing di bahagian depan, terdapat sebuah lagi radiator tambahan GReddy yang diletakkan di bawah boot belakang. Hadir sama beberapa komponen bantuan yang lain seperti plet penyejuk Cusco, termostat NTCL 68°, serta kipas radiator SPAL Performance.
Bahagian luar dilayangkan dengan kaler kuning yang agak menyerlah. Dari jauh dah boleh perasan. Sebagai penyeri, beberapa komponen jenis gentian karbon turut dipasang seperti hood rekaan Eleven Nines Motorsport, bumbung Origin, bonet KFD Tuning Shop, serta spoiler GT Voltex Type 2. Sementara set splitter dan diffuser dibina secara kustom, termasuk padanan gril depan Zenki dan lampu belakang Kouki.
Ruang roda diisi set rim Rays Gramlights 57F bersaiz 18-inci, yang dibalut pada tayar Yokohama Neova AD08R dari saiz berbeza. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem brek depan menggunakan kaliper 6-pot jenis AP Racing CP5555, beserta servo brek Supra JZA80 dan hos brek APP. Untuk sistem gantungan, kedudukan kereta kini dilaras menggunakan set suspensi premium dari Aragosta.
Apa guna enjin kuat kalau kuasanya gagal dikawal. Bagi mendapatkan sektor kendalian lebih sempurna, sebahagian komponen telah diikat dengan bar penstabil Cusco seperti pada strut, lengan bawah dan anti roll, termasuk penggunaan set bush SuperPro dan cagak differential Weld. Mana-mana yang tidak mengikut selera, perlu dibina semula secara kustom seperti set tie rod, unit RCA, juga sambungan pada bahagian lengan bawah.
Imej bahagian dalam yang dulunya ringkas, telah dinaik taraf dengan pelbagai komponen yang bersesuaian. Bermula dengan sepasang tempat duduk Recaro SP-JJ Schwarz Raptor, stereng Nardi Torino, serta set roll cage lengkap dari Cusco. Untuk tujuan pemantauan, paparan kini dibuat menerusi unit AIM Strada MXS yang ditempatkan di ruang tengah dashboard.