Baru-baru ini, BMW Group Malaysia telah mengumumkan kedatangan wajah baru MINI Countryman yang menerima sentuhan eksklusif John Cooper Works Trim di pasaran Malaysia. Ia juga menandakan model akhir atau penutup bagi model F60 generasi kedua di pasaran tempatan yang dijual pada harga RM253,833 tidak termasuk insurans.
Ditawarkan hanya dalam jumlah terhad iaitu sebanyak 168 unit, model ini merupakan varian edisi khas Cooper S yang didatangkan dengan kit aerodinamik John Cooper Works (JCW). Ini termasuklah bampar depan dan belakang, sisi kiri dan kanan juga spoiler belakang dan rim.
Bukan itu sahaja, bahagian interior juga tidak kurang hebatnya dengan penghadang cahaya anthracite, perumah lampu dome serta kemasan tiang warna anthracite. MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini disediakan dalam empat pilihan warna iaitu Nanuq White, Chilli Red, Sage Green dan British Racing Green.
Tiada perubahan dari sudut mekanikal dengan mengekalkan penggunaan enjin empat silinder turbo 2.0 liter B48 dikekalkan. Enjin ini mampu menghasilkan 192 PS pada antara 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 ke 4,600 rpm. Didatangkan dengan transmisi klac berkembar tujuh di mana pedal penukar ada di stereng.
Jika berminat untuk memiliki MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini, anda juga boleh menikmati pakej lanjutan dan servis dengan hanya menambah RM10,400.