Sedan keluarga. Sesuatu yang diperlukan oleh semua, khususnya untuk mereka yang telah berumah tangga. Senang nak balik kampung, takde kena cerca ngan mak mertua. Ini tidak, dibawanya balik kereta sepot dua pintu. Memang bersilatlah orang tua tu nak keluar masuk.
Cuma satu jelah yang kurang best. Kebanyakan sedan moden hari ini tidak berorientasikan prestasi, seperti yang diharapkan oleh peminat modifikasi. Rupa sekian hal, macam dugong tercepit pun ada. Sehingga Civic muncul menyelamatkan keadaan…
Takyah citer pasal FD2R yang mahal, sebab siri ES atau EJ ni pun sudah memadai. Barang sentiasa ada, nak bikin sikit-sikit pun boleh. Biarpun ditawarkan pada nilai yang jauh lebih tinggi berbanding model lain sebaya dengannya.
Mat pernah merasai pengalaman yang sama. Minat nak main kereta masih tebal, tapi terhalang bila memikirkan keperluan kereta ini untuk keluarganya. Jadilah main mekap-mekap dulu. Pasang kit badan Civic Ferio Vi-RS, pasang sunroof dan cermin wiper Civic EK4, termasuk penggunaan hood karbon fiber Monster dan bumper depan Back Yard Special. Bagi menambah seri di dalam gambar, ruang roda dilengkapi rim Rusia EVO Regamaster, berserta tayar Toyo Proxes R1R berukuran 205/50ZR-16.
Hal yang sama turut berlaku di ruang dalam. Selain komponen milik Civic Ferio Vi-RS, tempat duduk depan telah digantikan dengan set Recaro Euro-R yang lebih kepit. Disediakan juga beberapa aksesori lain, macam stereng Momo Integra DC5, tombol gear J’s Racing, meter Defi, unit paparan Defi ZD, serta pemasa enjin Blitz DC.
Di peringkat awal, Mat cukup berpuas hati dengan salinan enjin B16B Type-R yang sedang digunakan. Asal tekan jer pegi. Tapi lepas terkena penangan VTEC Turbo milik pomennya, keupayaan enjin ini mula dirasakan kurang mari. Dah tekan sampai lantai pun tak pegi-pegi. Hati sudah susah, jiwa sudah kacau. Niat nak buat sedan keluarga tadi akhirnya gagal dan terpaksa digantikan dengan kereta lain yang lebih afdal.
Projek ini dimulakan dengan menguatkan semula bahagian dalaman enjin, seperti penempatan piston Wiseco, conrod BC, serta galas enjin ACL Race. Bahagian kepala silinder dihantar ke Nasty Port Flow untuk proses port & polish, sebelum diikat kemas menggunakan stud dari ARP.
Mat memilih turbo Garrett GT30 yang mendagu di atas manifold turbo kustom. Sebuah wastegate Tial juga dipasang bagi mengawal tekanan pada perumah turbo. Jumlah boost yang terhasil kemudiannya disejukkan oleh unit intercooler dan paip sambungan kustom. Manakala injap pelepas Tial berperanan membebaskan boost berlebihan.
Sistem pendesak yang dipasang memerlukan bekalan bahan api yang sentiasa stabil dan mencukupi. Ia dimulakan dengan pam petrol Walbro, set injektor FIC 1050cc serta sebuah regulator Sard untuk mengawal tekanan petrol dalam rel. Bagi menguruskan semula operasi enjin, ia kini ditala oleh modul ECU dari Hondata. Cantik casingnya, baru senang nak tunjuk bukti…
Kuasa baru yang diterima memerlukan sektor pengendaliannya diusik semula. Ia dibuat menerusi padanan set suspensi boleh laras jenis Tein Type Flex. Nak kasi lagi best, lengan bawah Hardrace, bar subframe ASR, bush Energy Suspension, bar anti roll Ultra Racing serta bar strut Back Yard Special dan Integra Type-R turut diguna bersama.
Oit! Civic sekarang dah ada turbo. Tak payah penat-penat nak bikin bagai. Jangan kau mintak belanja blow-off sudah, sebab jenis ni memang tak keluar bunyik. Kasi penyata, kasi payslip dan tunggu ajer bank telefon. Itu pun kalau layaklah…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Ahmad Norlizan (Mat)
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EJ9
- Tahun – 2000
- Enjin Asal – 1.6L SOHC
- Modifikasi Enjin – B16B Type-R, piston Wiseco, conrod BC, galas enjin & conrod ACL Race, port & polish Nasty Port Flow, stud ARP, cagak enjin Hasport, radiator aluminium Koyorad, turbin Garrett GT30, manifold turbo kustom, wastegate Tial, intercooler & paip sambungan custom, injap pelepas Tial, pengawal boost solenoid Hondata, pam petrol Walbro, injektor FIC 1050cc, regulator Sard, kabel pencucuh Spoon, ECU Hondata
- Transmisi – Kotak gear LSD, ratio gear Spoon & MFactory, klac plet berkembar Exedy Racing
- Ekzos – Paip custom 3-inci, muffler Apexi N1
- Luaran – Kit badan Civic Ferio Vi-RS, sunroof & cermin wiper belakang Civic EK4, hood CF Monster , bumper depan Back Yard Special
- Suspensi – Tein Type Flex
- Brek – Kit brek Brembo 4-pot Spoon (depan), Civic EK4 (belakang), pad brek Project-U, hos brek steel braided
- Rim & Tayar – EVO Regamaster 16-inci & Toyo Proxes R1R 205/50ZR-16
- Dalaman – Komponen Civic Ferio Vi-RS, tempat duduk Recaro Euro R, stereng Momo Integra DC5, tombol gear J’s Racing, meter Defi, unit paparan Defi ZD, pemasa enjin Blitz DC
- Bengkel – Evotec Autoparts, Shah Alam & My Garage, Kemaman