Sejak sesi ujian jalan raya dan beberapa gambar spyshot didedahkan pada Disember tahun lalu, akhirnya Proton dengan rasminya memperkenalkan Proton Persona facelift 2021 dalam satu acara maya untuk tontonan umum. Dalam acara yang sama, turut diperkenalkan ialah Proton Iriz Active yang tampil lebih sporty.
Bagi Persona 2022 facelift baharu, ditawarkan dalam tiga varian; Persona 1.6L Standard, Persona Executive dan juga Persona Premium masing-masing dijual pada harga RM45,200, RM50,100 dan 54,900 (harta atas jalan dengan pengecualian SST tidak termasuk insurans).
Berbanding model terdahulu, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas Persona 2022 ini. Antaranya termasuklah penampilan wajah hadapan yang menggunakan gril yang direka semula dengan logo baru Proton yang diserikan lagi dengan penggunaan lampu LED sebagai lampu utama. Bahagian belakang pula dipasangkan dengan lampu yang agak gelap. Bagi memberikan penampilan lebih sporty untuk varian Executive, Persona ini dipasangkan dengan tayar bersaiz 185/55.
Beralih pula ke bahagian dalam yang turut menerima beberapa perunahan. Pada bahagian dashboard, dilengkapi dengan skrin infotainment. Bagi makluman, ia turut dilengkapi dengan sistem arahan suara. Hanya perlu berikan arahan “Hi Proton”, anda sudah boleh mengawal sistem penyaman udara juga cermin tingkap.
Manakala untuk varian Eksekutif, ia didatangkan dengan tempat duduk balutan fabrik yang ditambah pula dengan perehat lengan. Bagi varian Premium pula, semua bahagian diberikan balutan kulit warna coklat cerah untuk meningkatkan sedikit imej, sesuai dengan namanya. Persona yang lebih premium.
Selain arahan suara “Hi Proton” terdapat beberapa lagi ciri yang telah dipertingkatkan. Sistem keterhubungan (connectivity) di mana sambungan 4G dan WiFi turut disediakan dalam Persona ini, seperti yang terdapat pada model-model Proton lain seperti SUV X50 dan X70.
Persona kini dilengkapi dengan ciri-ciri sebuah sedan yang praktikal dan memudahkan serta memberi keselesaan kepada pemiliknya. Antara yang turut disediakan seperti bukaan but kereta dari jauh, cermin sisi elektrik lipatan automatik, sistem kunci pintar, butang Push Start dan juga suis Eco Mode. Ia juga dilengkapi dengan enam slot USB, tiga di bahagian depan, dua di belakang dan satu lagi cermin pandang belakang.
Sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, Persona telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Proton Persona ini dilengkapi dengan enam beg udara, kawarlan kestabilan elektronik dan kawalan cengkaman. Ia dikuasakan oleh enjin 1.6 liter VVT 4-silinder yang menghasilkan 107hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm.