HRV Registered Owner Malaysia (HRV ROM) merupakan sebuah kelab berdaftar (PPM-016-10-17082016) khusus untuk pemilik Honda HRV. Ia bertujuan untuk mewujudkan jaringan hubungan di kalangan para pemilik HRV, termasuk bertukar pendapat dan berbincang tentang kenderaan yang mereka gunakan.
Salah satu aktiviti yang pernah diadakan adalah pertemuan di Lotus Desaru Beach Resort Johor. Sebanyak 35 buah HRV telah mengambil bahagian meliputi ahli-ahli dari Lembah Kelang, Utara, Pantai Timur dan Selatan.
Peserta Utara dan Pantai Timur bergerak lebih awal ke Kuala Lumpur untuk memudahkan perjalanan. Mereka kemudian berkumpul di R&R Seremban untuk sesi taklimat dari marshal bertugas. Dalam perjalanan tersebut, konvoi singgah di beberapa lokasi untuk bergabung dengan kumpulan peserta yang sedang menunggu.
Konvoi tiba di Lotus Desaru Beach Resort pada jam 3.00 petang. Selepas mendaftar masuk, mereka kembali berkumpul untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan kelab. Selain pemilihan ahli majlis tertinggi, diadakan juga pembentangan bajet, perlembagaan dan perasmian baju baru kelab.
Selesai mesyuarat, para peserta mengambil peluang untuk berehat dan beriadah di kawasan pantai. Mereka kembali berkumpul pada jam 8.00 malam untuk majlis makan malam di dewan utama resort. Selain menikmati makanan yang disediakan, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti sesi berkaraoke, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.
Selepas bersarapan pagi pada hari kedua, para peserta kembali berkumpul untuk aktiviti sukaneka dan mandi-manda. Program ini tamat secara rasminya, sebaik mereka mendaftar keluar pada jam 12.30 tengahari.