Komuniti Concept MDM JDM menganjurkan sesi pertemuan khas untuk pemilik Proton Wira di Negeri Terengganu. Mereka memilih tempat letak kereta Rimba Jaya bersebelahan Pasaraya Giant Gong Badak sebagai lokasi, memandangkan kapasiti kawasan tersebut mampu menampung jumlah kereta yang bakal mengambil bahagian.
Tidak kurang dari 367 buah kereta hadir menjayakan acara ini, terdiri daripada beberapa buah kelab dan komuniti Proton Wira di kawasan Pantai Timur iaitu: Concept MDM JDM, Wira Imperial Brotherhood Club (WIBC), My Wira Club Motorsport (MWCM), PWira Club (PWC), MyWira Underground Car Club (MUCC), Club Wira Malaysia (CWM), Gabungan Pemilik Wira Malaysia (GPWM) dan MDM Hardcore Community (MDMHC). Ia turut disokong beberapa kelab pemilik kereta yang lain seperti Three Diamond Club (TDM), Dolphin Terengganu dan Proton Saga Iswara Fiore Terengganu (PROSIFT).
Menurut Ahmad Zukhairi selaku pengelola, acara yang diadakan ini merupakan titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih baik, khususnya di kalangan pemilik Proton Wira di Negeri Terengganu. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menambah kenalan, tapi turut membentuk jalinan ukhwah walaupun berbeza kelab dan komuniti.
Sebagai tanda penghargaan, setiap kelab dan komuniti yang mengambil bahagian telah menyediakan 5 buah hamper untuk acara cabutan bertuah. Pihak Soki Ekzos juga bermurah hati menyumbangkan sebuah muffler ekzos sebagai hadiah utama.