Seramai 36 peserta telah mengambil bahagian dalam Konvoi Merdeka Jelajah Perlis anjuran Kelab Kereta Toyota Utara (KELKETU) bersama Toyota Utara Motorsports (TUMs), Battle Royale X dan sahabat Toyota lain. Ia bertujuan untuk mewujudkan semangat patriotisme dan mengukuhkan ikatan silaturahim antara peserta.
Aktiviti dimulakan seawal jam 10.00 pagi, bermula di sempadan Kedah-Perlis, menuju Padang Besar, Timah Tasuh dan berakhir di Bukit Ayer pada jam 6.00 petang. Sepanjang konvoi, kesemua peserta dikehendaki memandu secara berhemah dan menitikberatkan soal keselamatan jalan raya.
Para peserta juga diwajibkan memasang Jalur Gemilang pada kereta masing-masing, bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Kemerdekaan negara yang ke-60.