Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM) menganjurkan Kembara Mini Jelajah Langkawi yang disertai seramai 20 orang pemilik Mini Klasik bersama keluarga masing-masing. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain memperkenalkan keunikan Mini Klasik kepada umum.
Dari Kuala Lumpur, konvoi singgah di Mydin Ipoh bagi memenuhi jemputan perasmian kedai Dazs Donuts milik ahli KPKMM, En Irwan Syukri. Mereka kemudian dilepaskan dalam satu majlis ringkas oleh penasihat kelab, Prof. Dato’ Ir. Mohamad Bin Dalib, Pengarah Kejuruteraan Automatif JPJ.
Konvoi singgah dan bermalam di D’View Hotel, Kuala Perlis sebelum mengambil feri ke Pulai Langkawi keesokan harinya. Mereka tiba di Jeti Tanjung Lembung pada jam 12.00 tengahari dan disambut ahli KPKMM yang tinggal di Pulau Langkawi, En Yogi Choo. Selesai urusan kastam, mereka terus ke gerai Kak Yan Nasi Campur di Ulu Melaka untuk makan tengahari, sebelum ke lokasi penginapan di Sandy Beach Resort, Pantai Cenang.
Selepas bersarapan pagi, kesemua peserta diminta bersedia untuk memulakan aktiviti lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Pulau Langkawi. Antaranya Beras Terbakar, Makam Mahsuri, Perusahaan Gamat & Herba Sireh Lagenda, serta Galeria Perdana di Mukim Air Hangat. Konvoi singgah sekali lagi ke Gerai Kak Yan Nasi Campur untuk makan tengahari, sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Rhu untuk sesi bergambar.
Pada hari terakhir, masing-masing bersiap awal untuk menaiki feri ke Kuala Perlis. Mereka kemudian meneruskan perjalanan menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan, sebelum tiba dengan selamat ke lokasi masing-masing. Kejayaan mengharungi perjalanan sejauh 1350km ini, pasti meninggalkan kenangan terindah buat semua yang mengambil bahagian.
Kepada pemilik Mini Klasik yang ingin menyertai kelab ini, hubungi Henry Chua (012-691 6733) / Rose Warzukni (018-226 2000) untuk maklumat lanjut.