Sebuah petak parkir terletak di Hyde Park Gardens, pusat bandar raya London ditawarkan pada harga £210,000 (RM1.2 juta). Menurut laporan Mirror, harga lot parkir berkenaan hampir menyamai harga purata sebuah rumah di Britain iaitu sekitar £239,000 (RM1.3 juta). Ia didatangkan bersama pajakan selama 85 tahun yang akan berakhir pada tahun 2104.
Pada harga tersebut, penduduk Britain boleh membeli sebuah rumah berkembar dilengkapi tiga bilik tidur di Harrogate, Yorkshire Utara atau memiliki rumah teres di Yorkshire Dales. Biarpun harga petak parkir di Hyde Park Gardens itu dianggap mahal, ia sebenarnya murah jika dibandingkan dengan harga tempat letak kereta paling mahal di Britain.
Pada Januari lalu, sebuah petak parkir bawah tanah di Knightsbridge dijual pada harga £350,000 (RM1.99 juta). Ruangan sepanjang 6 meter itu dilengkapi pembantu garaj harian dan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan terletak hampir dengan gedung beli-belah berprestij, Harrods.
Dengan perjanjian pajakan selama 25 tahun pada kadar 3.92 peratus, pembelinya akan membayar ansuran bulanan sebanyak £1,649 (RM9,394) jika membuat bayaran deposit sebanyak £35,000 (RM199,398). –agensi
Sumber : Mekanika