Dalam diam-diam, Nuex telah menjual Lancer CK2 celop beliau, untuk sesuatu yang lebih baik. Ingatkan beli rumah baru, rupanya dilaburkan untuk sebuah Lancer Evo CT9A. Tapi kisahnya tak abes di situ. Selang beberapa bulan, ia turut menerima nasib yang sama seperti kereta terdahulu.
Menurut Nuex, kereta ini merupakan sebuah Lancer Evo VII GTA yang telah dinaik taraf oleh pemilik asal. Memang kental jugaklah nak siapkan. Sebaik bertukar tangan, Nuex tidak bercadang menyambung warisan yang ditinggalkan, sebaliknya dibina semula dengan cara sendiri.
Tak semua yang diilhamkan Jepon itu cantik di pandang mata. Kadang-kadang abeng jugak. Ketika pertama kali melihatnya di acara Evo Day tempohari, kereta ini muncul dengan kit badan lengkap Varis Time Attack Version yang agak sado. Ikut selera masing-masinglah, rasanya okey aje. Cuma pilihan kaler yang kurang sesuai menyebabkan ia nampak terlalu menonjol dan menjolok mata.
Penyudahnya, Nuex cabot kit badan tersebut dan gantung di dinding kedai sebagai hiasan. Ia kemudian digantikan dengan kit badan standard Evo IX yang lebih tenang. Sebagai penyeri majlis, diselitkan juga beberapa komponen lain seperti hood gentian karbon Varis, boot gentian karbon Monster Sport, serta cermin sisi mickey RalliArt. Satu-satunya komponen Varis Time Attack Version yang masih tinggal adalah skirt sisi, yang sengaja dikekalkan sebagai tanda kenangan.
Kedudukan kereta ditongkat dengan set suspensi boleh laras HWL. Sistem hentian pulak, dah tentu menggunakan kit dari Brembo. Mengisi ruang rodanya adalah rim Advan RG berukuran 18-inci, yang disalut pada tayar Achilles 123S bersaiz 255/35R-18.
Seperti Lancer Evo CT9A yang lain, model ini juga dibekalkan dengan enjin 4G63T. Tapi yang cokoroinya, unit turbo dan kotak gear agak kurang jantan. Pedal klac pun takde. Alang-alang nak tambah kuasa, seketul enjin 4G63T dari Evo VII telah digunakan untuk mengembalikan semula potensi yang ada.
Sedikit tingkat taraf telah disediakan ke atas enjin baru ini seperti penggunaan camshaft HKS, penapis udara Simota, wastegate Tial 38mm, intercooler HKS, injap pelepas Turbosmart, dan pam petrol Walbro. Sebagai langkah menghilangkan sekatan yang wujud, kotak ECU kini digantikan dengan unit talaan RalliArt.
Apa guna tukar manual kalau kuasanya asyik tergelincir. Untuk itu, salinan kotak gear ini telah dilapik set klac jenis plet berkembar dari HKS. Memastikan sistem ekzosnya galak menggelegak, keseluruhan bahagian ini perlu dibina semula secara kustom.
Bahagian dalam tampil dengan gaya serba ringkas. Beberapa item penting seperti dashboard, konsul gear, stereng dan tempat duduk, telah digantikan dengan komponen milik Evo VII. Aksesori lain yang turut digunakan termasuklah trim gentian karbon, tombol gear RalliArt, meter boost Works Engineering, serta rangkaian meter Defi untuk tujuan pemantauan.
Ini baru permulaan. Macam retis BBNU jugaklah. Jangkaannya, lebih banyak toyol Mak Limah bakal menyusul selepas ini…