Untuk tahun ketiga berturut-turut, Velocity Motor Show kembali menemui peminat permotoran pada 15 – 17 September yang lalu. Mengambil tempat di perkarangan Plaza Arkadia, Desa Park City Kuala Lumpur, hampir 20,000 orang pengunjung telah hadir sepanjang tiga hari acara berlangsung.
Selain mengetengahkan jentera modifikasi tempatan, acara kali ini turut melibatkan penyertaan negara jiran Thailand. Paling mencuri tumpuan kehadiran dua buah trak bigfoot, termasuk barisan jentera berprestasi dan autoshow lain.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang meninjau setiap jentera yang mengambil bahagian. Ia dimeriahkan lagi dengan penyertaan pempamer jenama aksesori, yang turut mengadakan promosi ke atas produk dan perkhidmatan masing-masing. Bagi yang berminat, mereka juga boleh mendapatkan jenama pakaian atau barangan cenderamata sebagai tanda kenangan.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang acara berlangsung. Antaranya perlumbaan drift dan gymkhana, pertandingan audio, pertandingan BMX dan papan luncur, perhimpunan kelab dan lain-lain. Ia turut diselangselikan dengan persembahan DJ dan cabutan bertuah, yang menyediakan pelbagai hadiah menarik dari semasa ke semasa. Sebagai daya tarikan, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menaiki trak bigfoot dan jentera drift bersama pemandu profesional, atau mendaki dengan Mitsubishi Triton dalam acara Mitsubishi Red Peak.
Selaku penganjur, Fitzgerald telah mengumumkan edisi keempat Velocity Motor Show bakal berlangsung di perkarangan Stadium Bukit Jalil pada 19-21 April 2019. Anda boleh dapatkan maklumat terkini menerusi laman Facebook: Velocity Motor Show.
Foto: Static365 / Perotography