Suatu masa dulu, model sedan mewah bersaiz besar seperti ini, pernah mewarnai sukan permotoran dan dunia modifikasi. Semuanya bermula apabila penggiat sukan derip di Jepon, menggunakan kereta jenis ini untuk beraksi. Cantik-cantik pulak tuh. Kita kat sini apa lagi. Abih pakcik-pakcik teksi limo X80 kena gegar, bagi mendapatkan platform yang sama.
Tingkat seterusnya adalah kereta ini, sebuah model siri X90 yang lebih baru. Bezanya ia tidak bertugas membawa orang pegi airport, sebaliknya digunakan sebagai sedan mewah milik peribadi. Itu pun tak banyak mana. Tidak hairanlah jika harga yang perlu dibayar jauh lebih tinggi.
Seperti sebelumnya, platform X90 ini juga telah dipecahkan kepada beberapa nama penting. Mark II sebagai model umum, Cresta untuk versi mewah dan Chaser bersifat kelajuan. Sementara Cressida yang merupakan Mark II versi eksport, telah digugurkan untuk generasi ini.
Kereta milik Kyerill ini merupakan antara model Mark II siri X90 yang masih berada dalam kondisi terbaik. Walaupun sudah melepasi usia dua dekad, kondisi kereta ini tetap tegak dan segak hasil pemasangan kit badan VS Aero yang lebih labuh. Tidak ketinggalan penggunaan hood jenis gentian karbon, termasuk unit sunroof JZX90 di bahagian bumbung.
Bahagian roda menempatkan rim set rim Work Emotion CR-Kai yang dibalut pada tayar Achilles ATR Sport dari saiz 225/45R-18. Sektor pengendalian juga telah dimantopkan semula, menerusi padanan set suspensi boleh dari Bilstein. Menjamin kuasa hentian yang sempurna, sistem brek telah disalin semula menggunakan komponen dari Toyota Aristo untuk depan dan belakang.
Ketika dibawa masuk, kereta ini dibekalkan dengan enjin jenis 1G-FE, sebuah enjin 6 piston sebaris bersesaran 2-liter. Takat nak makan angin, memang takde masalah. Tapi kalau kuasa yang ditagih, dah pijak sampai lantai pun belum tentu boleh pegi.
Kedudukan enjin tersebut telah digantikan dengan enjin 1JZ-GTE dari JZX90. Memandangkan ia belum menunjukkan tanda-tanda kurang sihat, keseluruhan komponen dalaman enjin tahan lenjan ini belum lagi diusik. Peningkatan yang dibuat hanya tertumpu kepada sistem pendesak yang menggantikan unit turbo berkembar asal dengan turbo tunggal Garrett AR60. Hadir sama beberapa komponen bantuan lain seperti paip sambungan GReddy, wastegate Tial 40mm, intercooler HPI, serta injap pelepas Apexi Twin Chamber.
Bekalan bahan api dihantar pam petrol Walbro, dengan jumlah tekanan dikawal oleh unit regulator Arospeed. Memastikan keupayaan enjin ini kekal pada tahap optimum, pemetaan enjin ditala menggunakan unit piggyback GReddy e-Manage. Walaupun masih muda dan macho, Kyerill tetap memilih sistem transmisi automatik untuk menjaga kepala lututnya.
Bahagian dalam agak tipikal untuk kereta kelas limo seperti ini. Tempat duduk misalnya, dibuat cukup tebal dan empuk untuk keselesaan yang maksimum. Baru duduk dah mimpi. Sebagai tambahan, sebahagian komponen telah digantikan dengan perkakasan milik JZX90 yang datang bersama hafkat. Turut kelihatan, penggunaan meter utama TRD, gugusan meter Defi dan HKS, serta paparan Apexi AVCR dan Defi ZD.
Musim main sedan bersaiz besar seperti ini, nampaknya semakin suram. Ramai yang dah cuci tangan atau beralih kepada model berprestasi sebenar. Bila kembali bercerita tentang kereta ini, teringat pulak dengan zaman Impak Maksima…
Spesifikasi
Pemilik Kyerill KP
Pengeluar Toyota
Model Mark II GX90
Tahun 1994
Enjin asal 1G-FE
Modifikasi Enjin 1JZ-GTE, turbo tunggal Garrett AR60, paip sambungan GReddy,
wastegate Tial 40mm, intercooler HPI, injap pelepas Apexi Twin
Chamber, penapis udara Simota, pam petrol Walbro, regulator
Arospeed, GReddy e-Manage, tangki perangkap minyak GReddy
Transmisi Automatik
Ekzos Paip ekzos kustom, muffler Ganador
Luaran Kit badan VS Aero, hood gentian karbon, sunroof JZX90
Suspensi Bilstein
Brek Toyota Aristo
Rim & Tayar Work Emotion CR-Kai 18-inci & Achilles ATR Sport 225/45R-18
Dalaman Salinan komponen JZX90, meter utama TRD, meter Defi, HKS,
Apexi AVCR & Defi ZD
Bengkel Kapl Garage, Zamzamir Garage, Aautopit, 4BGA Garage, Peja
Autowork, Apap Polish, BAR