Mercedes Benz terkenal kerana statusnya sebagai jenama mewah, khusus untuk orang lama yang ada-ada. Hikayat ini dipegang kuat golongan tokey dan profesional, yang hanya memilih kereta buatan Jerman ini sebagai simbol kejayaan mereka. Bila dah lekat dengan idiom semacam ini, mana mungkin ia dipilih golongan muda yang kacak bergaya. Kecuali model-model tertentu, yang dipertahankan kerana legasi kejayaannya sebelum ini.
Hampir berabad lamanya Mercedes Benz kekal selesa dengan formula yang sama. Yang agak-agak boleh beli, datang dengan rupa tak semenggah mana. Sementara yang lawa-lawa pulak, dijual pada harga sebijik buah pinggang. Sehinggalah Mark Fetherston yang bertanggungjawab menghasilkan model sokan SLS AMG, diberi tugas melahirkan sebuah model serba baru dipanggil CLA.
CLA diletakkan dalam kelas tersendiri, hasil evolusi dari model A-lass yang diperhalusi semula. Lahir dalam bentuk coupe 4-pintu, ia antara model kompak mewah yang berjaya menarik minat golongan muda untuk kembali kepada jenama ini. Langsung tak nampak uncle-uncle. Dalam tak diam, inspirasi rekaan ini mula diterima sebagai gaya baru Mercedes Benz, termasuk diperluaskan kepada model C-Class, E-Class dan S-Class terkini.
Kereta ini dibeli Afi sekitar 8 bulan yang lalu. Baru sesangat. Kalau jenis sayang terok, silap-silap plastik seat tu pun tak bukak lagi. Tapi Afi ada misi tersendiri. Selain bertindak sebagai kereta kerja dan keluarga, beliau turut menzahirkan minatnya sebagai Kaki Kereta sebenar, menerusi siri tingkat taraf yang bersesuaian.
Pilihan yang dibuat pun bukan calang-calang. Sebuah model CLA250 Sport 4Matic, yang datang dengan pakej AMG Line. Dalam kata mudah, ia sudah dilengkapi kit badan AMG yang lebih agresif. Perubahan yang ada, hanya melibatkan penukaran komponen kosmetik seperti gril depan AMG karbon fiber, cermin sisi karbon fiber, serta sebuah spoiler ducktail juga dengan kemasan karbon fiber. Kedudukan rim 18-inci asal telah disisihkan dan diganti dengan rim AMG 507 Edition berukuran 19-inci.
Kebanyakan kereta moden hari ini, datang dengan enjin lebih ringan dan kecik. Kecik-kecik pun ada sipot. Dan untuk kereta ini, ia dibekalkan dengan enjin turbo 4 silinder berkapasiti 1991cc, yang dihubungkan kepada kotak gear automatik dual klac 7 kelajuan serta sistem pacuan 4 roda 4Matic. Dengan kuasa sekitar 211hp dan tork sekuat 350Nm, ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.6 saat, selain mampu mencatat kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Bagi Afi, angka-angka ini sudah memadai untuk menggambarkan kuasa yang dimiliki. Lebih mudah apabila unit ECU saja yang perlu ditala semula, untuk capaian kuasa yang optimum. Termasuk dalam pakej ini merupakan kit penapis udara BMC, serta sistem ekzos baru rekaan Awork Performance, sekaligus melenyapkan kempen alam sekitar yang wujud sebelum ini.
Bahagian kokpit datang dengan gaya serba mewah. Tak perlu buat apa pun, lebih-lebih lagi untuk kereta dengan pakej selengkap ini. Komponen penting seperti dashboard, panel pintu dan tempat duduk, disaluti kombinasi material jenis Artico dan Dinamica yang premium. Sementara paparan bersaiz 8-inci yang datang dengan gaya tersendiri, memadai untuk menyampaikan informasi yang diperlukan. Tapi mana tuas gearnya? Dah masuk 2017 boh, semua benda dah duduk kat ujung jari.
Diberitakan varian tertinggi CLA 45 AMG, sudah boleh ditempah dan bakal memasuki pasaran tidak lama lagi. Patut segmen Euro semakin meriah. Lagi-lagi bila pengeluar Jepun sekarang, lebih cenderung kepada teknologi hybrid berbanding model sokan berprestasi tinggi. Apa citer?
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Afifi
- Pengeluar – Mercedes Benz
- Model – CLA250 Sport 4Matic
- Tahun – 2016
- Enjin Asal – M270DE 20AL
- Modifikasi Enjin – Kit penapis udara BMC, talaan ECU Stage 2
- Transmisi – Kotak gear automatik dual klac 7 kelajuan (7G-DCT), pacuan 4 roda 4Matic
- Ekzos – Sistem ekzos kustom Awork Performance
- Luaran – Kit badan AMG Line, gril depan AMG karbon fiber, cermin sisi karbon fiber, spoiler ducktail karbon fiber
- Suspensi – AMG Sport Suspension
- Brek – Standard
- Rim & Tayar – AMG 507 Edition 19-inci & Achilles ATR Sport 235/35ZR-19
- Dalaman – Standard
- Bengkel – Awork Performance, Utmost Downforce Garage, Etuners, Dream Factory, Auto Plate Division