Stigma masyarakat terhadap kereta segmen wagon, menyebabkan para pengeluar lebih berhati-hati untuk memperkenalkan varian ini di sini. Bukan tak pernah ada macam Hyundai i40 Tourer, Mazda 6 Grand Touring, Peugeot 508SW, termasuk dari jenama Eropah yang lain. Namun disebabkan harganya yang tidak lagi murah, ia kurang mendapat sambutan dan perlu dikeluarkan daripada katalog jualan.
Penyusutan trend wagon ini turut berlaku di peringkat global. Popularitinya kini dilihat semakin pudar, dengan kebanyakan pengeluar memberi lebih tumpuan kepada segmen SUV. Lagi praktikal katanya. Yang masih tinggal hanyalah wagon-wagon lama, yang diburu atas dasar minat atau untuk tujuan modifikasi.
Ini antara wagon lama yang masih memiliki peminat tersendiri. Kalau dulu nak jumpa walau sebijik pun payah. Namun hasil pencarian kaki Fiore yang obses seperti Awea, sebahagian darinya berjaya ditemukan semula walaupun dalam keadaan tidak sempurna.
Kerana kurang mengenali Awea, sejarah silam kereta ini agak samar-samar untuk dihuraikan. Mana dia dapat, apa dah bikin, macam-macam lagilah. Namun seperti pemilik kereta lama yang lain, ia juga telah dibina semula untuk berada pada kondisi sehensem ini. Takde lagi kudis atau sopak di mana-mana, sama ada dibaik pulih atau digantikan dengan komponen yang lebih sesuai. Selain penggunaan kit badan lengkap Fiore Wagon 4WD, Awea turut menempatkan gril Fiore UK Spec, termasuk skirt sisi dan lip depan kustom.
Keperluan ruang roda disumbangkan oleh rim Volk Racing TE37 papan beserta tayar Falken Ziex dari saiz 205/50R-16. Membolehkan ia berhenti pada waktunya, keseluruhan sistem brek telah dinaik taraf menggunakan komponen dari model Proton Perdana. Bagi membetulkan semula sektor pengendalian, sistem gantungan kini menerima set suspensi dari Monroe.
Asalnya dikuasakan oleh enjin 4G13, yang mungkin kurang praktikal untuk dikekalkan. Biasalah enjin tua. Grembal sampai nipis pun tak jalan. Sebagai penyelesaian, ia kini telah digantikan dengan enjin satupoinenam liter jenis 4G61 tanpa T. Agak payah dah nak jumpa sekarang ni. Memandangkan ia tidak dibina untuk tujuan prestasi, keseluruhan enjin terus dikekalkan kecuali penggunaan pam petrol Walbro, unit regulator Tomei, serta radiator aloi dari Synergy. Bagi menyejukkan lagi pandangan mata, keseluruhan ruang enjiin telah dihijaukan termasuk mengalihkan kedudukan komponen kurang perlu untuk tujuan kemasan.
Menjengok sebentar ke ruang dalam, kebanyakannya telah digantikan dengan komponen milik Fiore Wagon 4WD yang masih lagi cantik. Semuanya nampak sedondon khususnya untuk tempat duduk dan panel pintu. Termasuk dalam pakej ini adalah bahagian papan pemuka, stereng, konsul tengah, serta unit meter digital.
Tanpa sedar, kesungguhan Awea dan pemilik Fiore lain membina semula kereta ini telah berjaya mengembalikan statusnya sebagai antara model Mitsubishi yang harus dipelihara, khususnya di kalangan mereka yang faham tentang maksud legasi…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Awea
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer Fiore Wagon C11V
- Tahun – 1990
- Enjin asal – 4G13
- Modifikasi enjin – 4G61, pam petrol Walbro, regulator Tomei, radiator aloi Synergy
- Transmisi – Kotak gear manual, klac Exedy
- Ekzos – Kustom
- Luaran – Kit badan Fiore Wagon 4WD, gril Fiore UK Spec, skirt sisi & lip depan kustom
- Suspensi – Monroe
- Brek – Proton Perdana
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 16-inci & Falken Ziex 205/50R-16
- Dalaman – Salinan komponen Fiore Wagon 4WD
- Bengkel – Hamizan Service Centre, Saidi Tukang Cat, FF Garage Autoparts