Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors, MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA (MMM) menamakan Shinya Ikeda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menggantikan Tomoyuki Shinnishi yang menyandang jawatan sama sejak Oktober 2016. Beliau secara rasminya bertugas di pejabat Malaysia pada 11 Oktober 2021. Sebelum itu, beliau sudah mula bertugas bersama Mitsubishi Corporation di Japan sebagai Pengurus Besar dalam bidang perniagaan automotif sejak 2019.
Ikeda memulakan kerjayanya di Jepun pada tahun 1995 dan menyertai Mitsubishi Corporation pada tahun 2008. Tugasan pertamanya adalah untuk menguruskan pelaburan perniagaan automotif di Malaysia. Seterusnya, bermula dari bulan Mac tahun 2009 sehingga Mei 2012, Ikeda bertugas sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Pengurus Besar (GM) Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), mengetuai pembangunan perniagaan baharu.
Sejak itu, Ikeda telah memegang pelbagai jawatan dan berpengalaman dalam automotif dan perniagaan kewangan dalam Mitsubishi Corporation dan pelbagai pasaran lain termasuk Jepun, Indonesia, Rusia dan Jerman.
“Saya amat teruja untuk menyertai pasukan Mitsubishi Motors Malaysia. Syarikat ini telah berkembang dengan pesat dan menjadi salah satu jenama unggul dalam dunia automotif di Malaysia. Sebagaimana yang telah diumumkan dalam Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Mid-Term Business Plan tahun lalu, MMC akan terus menumpukan terhadap pasaran ASEAN khususnya di Malaysia kerana ia merupakan pasaran paling penting untuk mengembangkan lagi jenama Mitsubishi.”
Beliau turut mengatakan tidak sabar untuk bekerjasama dan menyumbangkan pengalaman serta pengetahuannya bersama pasukan MMC. Dalam masa yang sama, gembira kerana dapat kembali ke Malaysia yang terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai pilihan makanan dan juga budaya serta masyarakatnya yang mempunyai potensi dengan bakat-bakat terpendam.