Toyota Gazoo Racing Musim Ke-4 telah pun membuka tirainya untuk pusingan pertama yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 27 Mac yang lalu. Sebanyak 4 kelas yang berbeza telah dipertandingkan iaitu Promotional, Rookie, Sporting dan Super Sporting serta menyaksikan sebanyak 44 kereta lumba turut berentap dan memberikan saingan yang cukup hebat.
Di perlumbaan Race 1, Adam Khalid memandu kereta no.28 untuk pasukan Crestmax Motorsport dan berjaya melayakkan diri di tempat kedua di sesi kelayakan sekaligus menempatkan beliau di grid kedua. Manakala rakan sepasukan Adam Khalid, Bradley Anthony yang memandu kereta no.55 untuk pasukan Dream Chaser juga berjaya melayakkan diri di petak ketiga.
Sebanyak 18 kereta yang menyertai perlumbaan 20 pusingan untuk Sporting Class ini. Bermula di petak kedua, Adam memulakan perlumbaan dengan baik dan berjaya mengejar kereta yang mendahului perlumbaan setelah beberapa pusingan. Bagaimanapun, Bradley tidak berapa bernasib baik dan terpaksa berpuas hati di tempat ke-14 ekoran masalah teknikal.
Hanya berbaki 9 pusingan, Adam berjaya memintas pendahulu perlumbaan di selekoh 4, seterusnya menghabiskan perlumbaan di tempat pertama dalam perlumbaan Race 1 ini. Manakala di Super Sporting Class, abang kepada Bradley, Brendan Anthony yang memandu kereta No.22 untuk pasukan Dream Chaser berhadapan dengan masalah mekanikal di pusingan kelayakan dan memulakan perlumbaan Race 1 petak ke-9 tetapi tidak berjaya menamatkan perlumbaan selepas beberapa pusingan kerana kegagalan pada keretanya.
Perlumbaan diteruskan dengan Race 2 yang diadakan pada hari Ahad, 28 Mac di mana para peserta Top 3 dalam Race 1 memulakan perlumbaan di grid berlawanan. Adam Khalid memulakan perlumbaan di petak keenam dengan 20kg untuk memenangi Race 1 dan Race 2. Ianya perlawanan yang amat sengit ketika Race 2 di mana banyak aksi bumper to bumper. Namun, Adam berjaya menamatkan perlumbaan Race 2 di tempat ketiga walaupun dengan bebanan seberat 20kg dan bermula di petak ke-6 di grid.
Bradley Anthony yang memandu kereta No.55, memulakan perlumbaan Race 2 di bahagian belakang kerana penalti disebabkan beberapa isu teknikal. Namun begitu, barisan belakang tidak menghalang kesungguhan pelumba muda ini untuk terus berjuang. Di penghujung pusingan pertama, Bradley telah berjaya menduduki tempat ketiga. Bradley meneruskan perlumbaan dengan lancar tanpa sebarang perlanggaran dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam walaupun bermula di petak terakhir. Satu pencapaian yang hebat!
Manakala abang Bradley, Brendan yang beraksi dalam Super Sporting Class memulakan perlumbaan Race 2 di petak ke-10 kerana kegagalan mekanikal dan DNF (Did Not Finish) ketika di perlumbaan Race 1. Brendan mendapat banyak peluang ketika perlumbaan Race 2 dan berjaya berada di kedudukan ke-2 selepas pusingan kedua. Walaupun banyak peluang dan jentera berfungsi dengan cukup baik, nasib masih tidak menyebelahi Brendan. Selepas beberapa pusingan, Brendan terkeluar di selekoh 7 dan akhirnya menamatkan perlumbaan.
Bagaimanapun, ia sesuatu yang menyeronokkan apabila dapat kembali beraksi di litar. Team Crestmax Motorsport dan Team Dream Chaser pasti akan meneruskan cabaran untuk Toyota Gazoo Racing Musim Keempat 2021!