Uniknya tentang honda ialah, kebolehan mereka mencipta sesuatu yang berbeza dari ritma kebanyakan. Selepas bergelut masalah pasaran pada awal tahun 70-an, mereka bangkit dengan resepi baru hingga mampu bersaing dengan pengeluar yang lebih senior.
Yang dimaksudkan, pengenalan enjin CVCC (Compound Vortex Controlled Combustion) pada model Civic pertama dan seangkatan dengannya. Menerusi teknologi ini, Honda berjaya memenuhi standard piawaian emisi yang ketat, sekaligus membenarkan barisan model mereka menembusi pasaran dunia. Dari sebuah pengeluar kecil, Honda akhirnya berkembang menjadi gergasi automotif yang disegani.
Menjelang Jun 1983, Honda menerusi rangkaian pengedar mereka Verno, telah melancarkan sebuah coupe hatchback dengan nama Ballade Sports CR-X. Diasaskan dari Civic generasi ke-3, ia mengetengahkan konsep badan yang agak kecil tapi sporty. Walaupun tidak ringan seperti dijangka, namun rekabentuk bumbungnya yang menjunam, memberi kesan aerodinamik yang baik.
Ketika itu, CR-X mengisi ruang sebagai kereta sukan mampu milik, selepas kematian siri roadster dari Eropah. Atas permintaan yang memberangsangkan, pengeluarannya diteruskan pula untuk generasi kedua pada September 1987. Penambahbaikan yang diterima bukan saja melibatkan perubahan kosmetik, tapi turut melibatkan casis, sistem suspensi, dan pengenalan enjin B16A untuk model EF8 SiR.
Lepas lama terbiar tanpa kasih sayang, Joe akhirnya mengambil keputusan untuk membina semula CR-X miliknya ini dari skru pertama. Benda dah makin pupus. Jika tidak dilakukan sekarang, memang ke besi buruklah jawabnya. Kerana tugasnya yang sibuk mewelding lemang ejos, hampir setahun diperlukan untuk menyudahkan proses restorasi ini.
Buat permulaan, keseluruhan komponen yang melekat pada badan kereta telah ditanggalkan, sebelum dihantar untuk proses menukar baju. Disebabkan DSV dah booking kaler Pink Panther, Joe akhirnya memilih kaler merah Panigale untuk keseluruhan rangka dan kit badan Mugen Pro.2 yang digunakan. Siap timbang air lagi, hanya untuk memastikan ia benar-benar kemas seperti yang sepatutnya.
CR-X generasi kedua datang dengan sistem suspensi double wishbone untuk depan dan belakang. Sesuatu yang sangat mewah untuk model setaranya. Sebagai langkah tingkat taraf, ia telah dipadankan dengan set suspensi premium dari Ohlins, termasuk penggunaan lengan bawah dan bar subframe Function7. Keserian ruang roda datang dari rim Volk Racing TE37, yang dibalut tayar Yokohama Advan Neova AD08R. Sementara kuasa hentian pulak dibantu kit brek 4-pot AP Racing, lengkap bersama pad brek dari Endless pada roda depan.
Ketika kerja menyiapkan badan kereta sedang giat dijalankan, pihak MY Garage dan YA Service telah diberi tugas untuk membina nadi kuasanya. Untuk sebuah kereta berlogo H, pilihan yang boleh dibuat cukup banyak dan Joe memilih enjin kacuk B18CR yang diturbokan.
Binaan enjin ini memerlukan bahagian dalamnya diperkukuhkan semula. Antaranya penempatan piston Wiseco, conrod BC, bearing ACL, termasuk oil sump Moroso yang lebih besar. Bahagian kepala silinder pula diambil dari enjin B18C GSR, sebelum ditambah spring injap Supertech dan cam pulley dari Crower.
Peranan sistem pendesak dimainkan oleh unit turbo Garrett GT35.AR.82 yang tertenggek di atas manifold turbo kustom. Ia turut menempatkan sebuah wastegate Tial 38mm bagi meredakan tekanan pada perumah turbin. Boost yang termampat, seterusnya disejukkan oleh intercooler GReddy dan paip sambungan kustom, sebelum dibawa ke mulut throttle body Super90 yang melekat pada manifold kemasukan Edelbrock Victor X. Sementara tekanan berlebihan, akan dipaksa keluar menerusi injap pelepas Tial.
Untuk sistem penyampaian, bekalan bahan api dibawa masuk oleh pam petrol Walbro. Ia disalurkan kepada rel bahan api Works Engineering yang memegang set injektor Bosch 1350cc. Memastikan kadar tekanan dan balikan yang yang tepat, ia kini dilaras menggunakan unit regulator Sard.
Seperti yang dapat kita lihat, aspek kemasan menjadi matlamat penting kepada enjin ini. Dari awal pembinaannya, kesemua komponen kurang perlu telah disisihkan termasuk penggunaan paip sambungan jenis braided dan kit pendawaian dari K-Tuned. Memastikan setup baru ini mampu menghasilkan kuasa yang optimum, ia telah ditala menggunakan sistem pengurusan Link ECU.
Kemasan dalaman dibuat seringkas yang mungkin, khususnya ruang belakang yang sengaja ditogelkan. Di bahagian papan pemuka kelihatan deretan meter Defi yang ditanam pada ruang tengah, termasuk tambahan sebuah meter rpm Defi di bahagian sisi. Kemudian ada meter digital S2000 untuk meter utama, stereng Mugen SW2 yang rare, tuas gear billet K-Tuned, juga sepasang bangku baldi jenis Recaro SPG.
CR-X sebenarnya sudah mencapai status cult dan berada dalam kelas tersendiri. Ia adalah Honda yang khusus untuk golongan berjiwa Honda. Dengan harga semasa yang masih mencarut, hanya peminat tegar saja mampu memahami situasi ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Raizzul Shahril (Joe)
- Pengeluar – Honda
- Model – CRX
- Tahun – 1989
- Enjin asal – D15B
- Modifikasi Enjin – Blok B18CR, piston Wiseco, conrod BC, bearing ACL, oil sump Moroso, stud ARP, kepala silinder B18C GSR, spring injap Supertech, cam pulley Crower, turbo Garrett GT35.AR.82, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, throttle body Super90, manifold kemasukan Edelbrock Victor X, injap pelepas Tial, pam petrol Walbro, rel bahan api Works Engineering, injektor Bosch 1350cc, regulator Sard, radiator aluminium kustom, kit pendawaian K-Tuned, pek koil K20A, Link ECU
- Transmisi – Kotak gear B18CR, klac plet berkembar Exedy Racing
- Ekzos – Kustom Masri Exhaust
- Luaran – Kit padan Mugen Pro.2
- Suspensi – Ohlins, lengan bawah & bar subframe Function7
- Brek – AP Racing 4-pot, pad brek Endless (depan)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 & Yokohama Advan Neova AD08R 195/55R-15
- Dalaman – Meter tambahan Defi, meter digital S2000, stereng Mugen SW2, tuas gear K-Tuned, tempat duduk Recaro SPG
- Bengkel – MY Garage, YA Service, Masri Exhaust