Pada lewat tahun 80-an, atok Nobuhiro Tajima telah menyertai perlumbaan Race To The Clouds dengan sebuah kereta kecik bernama Cultus. Bukan ayam-ayam punya. Tapi sebuah jentera berenjin dua yang dibangunkan beliau menerusi cabang permotoran Suzuki Sport yang diterajuinya. Memula gagal, pastu bikin lain, pastu gagal lagi. Sehingga beliau mencipta kemenangan penting, menjuarai kategori Unlimited pada tahun 1992. Cayalah tok!
Kejayaan tersebut telah melonjak nama Suzuki di mata dunia, sekaligus memberi keyakinan tentang keupayaan model ini. Walaupun dibayangi kehebatan hot hatch lain yang seusia dengannya, kelincahan model generasi kedua ini telah membentuk kelompok peminat yang tersendiri termasuk di negara ini.
Zul membeli kereta ini dari seorang kenalan, yang juga peminat tegar model Swift dan Cultus. Ketika itu, ia sebuah kereta tersadai lepas dua kali menyelam bah di Kuantan. Ibarat beli casis jelah. Sebab segala komponen penting termasuk enjin, telah dijadikan sparepart lebih awal. Memandangkan ia berpintu dua dan masih bergeran, Zul terus berusaha mengenyit mata, walaupun kondisinya kurang menyelerakan.
Sebaik akad diterima, kereta ini ditarik ke bengkel Honsutoda di Bukit Beruntung untuk proses restorasi semula. Macam biasa, mula-mula lapah reramai sampai togel. Kemudian betulkan balik keseluruhan casis yang kedut dan kemek. Sementara tunggu siap dibaik pulih, Zul perlu berkelana ke sana ke mari untuk mencari komponen yang diperlukan.
Bahagian dalam yang terjejas teruk, telah dirawat sebaik mungkin bagi mengelak kakisan karat. Ia kemudian dilengkapkan semula dengan segala komponen yang sepatutnya, mengikut kondisi asal. Nak cari baru memang tak jumpa, mujur ada kaum sebulu yang sudi membantu. Tidak ketinggalan, penempatan bangku baldi jenis Suzuki Sport Racing, termasuk penggunaan stereng Tomei dan tombol gear karbon.
Zul perlu mendapatkan enjin gantian dari sumber berasingan. Walaupun hanya berkapasiti 1298cc, enjin siri G13B ini diakui cukup berpotensi dan mempunyai reputasi yang amat memberangsangkan berbanding enjin lain yang sebaya dengannya. Tengok saiz kepala silinder pun gerun, dah macam enjin 2-liter pun ada. Hakikatnya, percaturan nisbah kepada berat yang ideal menyebabkan ia begitu lincah, walaupun tidak dibekalkan dengan teknologi injap atau sistem pendesak.
Salinan enjin ini tidak datang dengan pakej yang menarik. Belum sampai masa katanya. Zul hanya menaik taraf sistem penyampaian bahan api menggunakan pam petrol Walbro. Ia akan dibawa ke rel bahan api kustom DZZ Motorsport, sebelum dilaras menggunakan unit regulator FSE. Campuran udara yang diterima dari throttle body Nissan SR20DE, kemudiannya diletuskan oleh kabel pencucuh R3, selepas mendapat signal dari unit ECU dengan cip talaan kustom.
Sisa buangan dari proses pembakaran dibuang keluar menerusi sistem ekzos kustom, yang mengandungi unit ekstraktor jenis 4-1, paip ekzos bersaiz 1.8-inci, serta muffler dari JFA Exhaust. Bagi mengagih kuasa enjin ke bahagian roda, kotak gear manual yang digunakan telah dilapik set klac dari Exedy.
Sebelum DZZ Motorsport diberi tugas mengecatnya dengan kaler putih, bahagian luar telah dilengkapkan semula dengan kit badan asal, termasuk tambahan lip depan Satria yang diubahsuai. Paling tahyul penggunaan aksesori original Swift untuk visor hood dan pelindung lampu depan, yang hampir mustahil untuk diperolehi pada waktu ini.
Selari dengan perubahan luaran, ruang roda kini dihiasi rim replika Spoon bersama tayar Achilles ATR Sport berukuran 16-inci. Sistem brek masih lagi standard, kecuali tebukan liang-liang udara di bahagian rotornya. Kedudukan kereta kemudian direndahkan dengan set spring dari H&R, termasuk padanan penyerap hentak Ohlins dan Razo.
Proses naik taraf kereta ini sebenarnya masih lagi berlangsung. Banyak yang perlu diperhalusi semula memandangkan sebahagian komponen yang diperolehi, berada dalam kondisi kurang memuaskan. Biasalah barang kutip-kutip. Tapi bukan itu yang patut kita pandang. Sebab kejayaan menghidupkan semula riwayat kereta ini, lebih bermakna untuk kita hargai…