Letakkan tiga generasi Jazz dalam satu barisan. Model awal GD, model pertengahan GE dan model terkini GK. Sekali pandang, ia jelas berevolusi dengan gaya tersendiri. Dari sebuah model yang dulunya agak feminin, ia kini kelihatan jauh lebih garang gara-gara lekukan badan yang agak agresif.
Apa pun, masing-masing punya peminat dan kelebihan tersendiri. Kalau pemilik Jazz GK masih berperang dengan nilai aksesorinya yang mahal-mahal, pemilik model GD boleh tersenyum riang mendengar harga aksesorinya yang sangat masuk akal. Itu pun untuk komponen kebanyakan. Bila dah main konsep Spoon Sports macam kereta Alif ni, nilai yang perlu dibayar tetap meninggal jugak.
Membezakan Jazz GD Alif dengan yang lain adalah kit badan yang digunakan. Ia merupakan kit badan versi Doov, yang memang direka khusus untuk model ini. Tambahan aksesori Spoon pun banyak jugak macam wiper, antena, cermin sisi dan spoiler. Bagi membentuk imej lebih garang, keseluruhan badan kereta telah dilayangkan dengan kaler biru-kuning bercorak petir, seperti jentera perlumbaan Spoon Sports sebenar.
Sesuai dengan tema yang dibawa, bahagian roda menempatkan rim Spoon SW388 dan dipadankan dengan tayar Yokohama Advan Fleva bersaiz 195/55R-15. Kuasa hentian seterusnya datang dari kit brek Spoon dengan pad brek Endless di bahagian depan. Sementara sektor pengendalian kini lebih premium selepas dipadankan dengan set suspensi boleh laras jenis Ohlins DFV l.
Jazz GD datang dengan kapisiti enjin yang pelbagai dan untuk model tahun 2006 ini, ia dikuasakan oleh enjin L15A kebanyakan. Disebabkan trend salinan enjin K20A dah jadi kelaziman, maka disumbatnya enjin Type R tersebut sebagai kaedah untuk memudakan semula kuasanya.
Kemasukan enjin ini memerlukan ia digantung pada kit cagak enjin Hasport. Sedikit naik taraf turut dilakukan di bahagian tertentu. Misalnya penggunaan penapis udara K&N pada ram udara karbon, throttle body Spoon, manifold kemasukan FN2R, serta rel bahan api K-Tuned. Menjamin janaan kuasa yang setimpal, pemetaan ECU kini dibantu perisian Hondata K-Pro.
Agihan kuasa dipacu kotak gear manual Integra DC5R, sambil dilapik set klac Ogura Racing. Keseluruhan sistem ekzos pula dibina secara kustom dengan muffler dari K-Tuned di hujungnya. Senarai aksesori lain meliputi penggunaan penutup rocker K-Tuned, adaptor radiator K-Tuned dan unit termostat Spoon.
Ruang kokpit tak banyak berubah, kecuali susunan komponen Spoon di sana-sini. Bermula dengan sepasang tempat duduk depan Spoon, hub stereng Spoon, stereng Momo Spoon dan cermin belakang Spoon. Turut digunakan, kit tuas gear dari K-Tuned, tombol gear Type R, serta meter Defi DIN sebagai pelengkap.
Kalau dah siap gini, rasa-rasa layak ke Jazz GD dipanggil model feminin? Baru nak beri salam dah kena tinggal…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Alif Daniyal
- Pengeluar – Honda
- Model – Jazz GD
- Tahun – 2006
- Enjin Asal – L15A
- Modifikasi Enjin – K20A Type R, cagak enjin Hasport, penapis udara K&N, ram udara karbon, throttle body Spoon, manifold kemasukan FN2R, rel bahan api K-Tuned, penutup rocker K-Tuned, adaptor radiator K-Tuned, termostat Spoon, ECU Hondata K-Pro
- Transmisi – Kotak gear manual Integra DC5R, set klac Ogura Racing
- Ekzos – Paip kustom 2.7-inci, muffler K-Tuned
- Luaran – Kit badan Doov, wiper, antena, cermin sisi & spoiler Spoon
- Suspensi – Ohlins DFV l
- Brek – Kit brek Spoon & pad brek Endless (depan)
- Rim & Tayar – Spoon SW388 15-inci & Yokohama Advan Fleva 195/55R-15
- Dalaman – Tempat duduk Spoon, hub stereng Spoon, stereng Momo Spoon, cermin belakang Spoon, tuas gear K-Tuned, tombol gear Type R, meter Defi DIN
- Bengkel – Jebon Global Trading, Zalpro Autoparts