Lebih 50 buah kereta telah menyertai Siri Perlumbaan Drift KBS dalam misi mencari juara Malaysia bagi tahun 2022 yang berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Melaka (MIMC). Pusingan kedua ini diadakan selama dua hari pada 3 dan 4 September yang lalu.
Dianjurkan oleh Kementerian Belia & Sukan dengan kerjasama Retro Havoc serta dikawal selia oleh Motorsports Association Of Malaysia (MAM). Perlumbaan ini turut menerima kerjasama dari Exquisite Motorsports dan tajaan dari Little Joe. Terdahulu, pusingan pertama telah diadakan pada 2 hingga 3 Julai lalu.
Pusingan kedua ini mendapat sambutan menggalakkan dan ditonton secara langsung menerusi streaming Facebook Retro Havoc dan rakan streaming Adreneline Impact, Drifts King International Series, Exquisite motorsport club dan NDS. Penyertaan dari barisan pelumba yang hebat mempamerkan aksi-aksi mendebarkan tetapi tetap mengujakan untuk ditonton.
Penganjuran pusingan ketiga dan juga terakhir bakal diadakan pada 12 dan 13 November ini. Pendaftaran untuk pusingan ketiga telah pun dibuka begitu juga dengan Drift Kings Asia Cup. Jumpa anda di sana!