Jika tidak kerana Perodua, senario kereta kecik di negara ini mungkin akan suram atau langsung tak wujud. Bermula dengan model pertama Kancil, penerimaan kita terhadap kereta bersaiz kompak ini sememangnya di luar jangka, sehingga mampu dijual pada jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding segmen lain.
Sebagai alternatif, Perodua telah memperkenalkan Kelisa, sebuah model yang jauh lebih maju pada tahun 2001. Seperti Kancil, ia juga pernah mengecapi era kegemilangan, sehingga mampu membentuk komuniti besar dalam tempoh yang singkat. Begitu juga dengan corak modifikasi yang dilakukan. Walaupun ada yang cuba menongkah arus, namun konsep salinan JDM masih mendapat tempat di kalangan peminatnya.
Alfie juga tergolong dalam kumpulan yang sama dan benda paling tahyul yang wujud pada kereta ini adalah, salinan kit badan ala klasik dari Mira Gino. Rasanya dah masuk belasan tahun, tapi masih lagi diminati sehingga kini. Bagi tujuan kelainan, Alfie turut memadankannya dengan beberapa aksesori yang sesuai. Nak tulis semua banyak sangat. Antara yang boleh disenaraikan, grill depan dan hood karbon fiber D-Sport, eyelid dan signal DCN, spoiler Gino Turbo, rak bumbung Gino serta rangkaian aksesori berkrom yang lain.
Bahagian tepi mengandungi cermin sisi Mini, skirt sisi Avy RS serta arch berkrom DCN. Termasuk dalam pakej ini adalah rim Seiken Cup berukuran 15-inci yang disaluti tayar Viking bersaiz 165/50R-15. Ah! Lama sungguh tak dengar nama rim berbaur Jepon semacam ni…
Perkara yang sama turut berlaku di bahagian dalam, di mana hampir kesemuanya telah selamat dijeponkan. Bermula dengan penggunaan dashboard Gino dengan trim jenis walnut, diikuti padanan meter dan stereng dari YRV. Selain dashboard, konsep kayu-kayan ini turut melarat ke bahagian panel pintu, konsul tengah, tuas gear dan brek tangan, serta cermin pandang belakang.
Tempat duduk menerima set kusyen hitam dari Gino Minilite Special, kecuali untuk Alfie yang diisi sebuah Recaro Njoy. Lebih selesa katanya. Senarai aksesori lain terdiri daripada armrest Cuore TR, karpet Gino, door pin Moon Eyes, meter boost Apexi, serta sistem audio lengkap dari Alpine dan Carrozzeria.
Walaupun prestasinya sudah memadai, sangat tak katam rasanya jika enjin asal ini tidak diusik sama. Seperti pemilik Kelisa lain, Alfie memilih enjin K3-VET dari Daihatsu YRV, sebagai kaedah paling mudah untuk meningkatkan kuasa. Pun begitu, ia belum dinaik taraf pada nilai sebenar dan hanya diberi sebuah injap pelepas HKS SSQV, pengawal boost GReddy, pam petrol Walbro serta unit regulator Sard.
Cukup ke? Cukuplah, benda nak lenjan hari-hari. Yang acah-acah Evo wanpointri tu pun boleh cuak kalau disergah…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Alfie Mi
- Pengeluar – Perodua
- Model – Kelisa
- Tahun – 2004
- Enjin Asal – EJ-DE
- Modifikasi Enjin – K3-VET, injap pelepas HKS SSQV, pengawal boost GReddy Profec B Spec II, pam petrol Walbro, regulator Sard, penstabil voltan Hot Inazma
- Transmisi – Auto Tiptronic
- Ekzos – Paip kustom 2-inci, tip ekzos berkembar Lucky Star
- Luaran – Kit badan Mira Gino, cermin cromax, grill depan & hood karbon fiber D-Sport, eyelid, signal & arch krom DCN, spoiler Gino Turbo, rak bumbung Gino, cermin sisi Mini, skirt sisi Avy RS, aksesori berkrom
- Suspensi – Tein
- Brek – Daihatsu YRV (depan)
- Rim & Tayar – Seiken Cup 15-inci & Viking 165/50R-15
- Dalaman – Dashboard Gino, trim walnut, meter & stereng YRV, tempat duduk & panel pintu Gino Minilite Special, Recaro Njoy, armrest Cuore TR, karpet Gino, door pin Moon Eyes, meter boost Apexi, sistem audio Alpine & Carrozzeria
- Bengkel – Kibishii Autohaus & KY7 Auto Service, Seksyen 7 Shah Alam