Art of Speed Malaysia 2019, kembali untuk tahun kelapan khusus untuk peminat kereta dan motosikal menyaksikan seni kustom dan modifikasi tempatan. Berlangsung pada 27-28 Julai yang lalu di MAEPS Serdang, ia merekodkan sekitar 55,000 orang pengunjung telah hadir sepanjang dua hari acara ini berlangsung.
Saban tahun, pihak penganjur sentiasa membawa masuk kenderaan vintaj dan ubahsuai yang mengkagumkan dari luar negara. Kali ini, kenderaan khas yang dipamerkan adalah Heiwa Motorcycle Japan dengan BMW R9T Custom, Moon Of Japan dengan 1961 Ford Falcon Sedan, serta Hot Dock Custom Cycles Japan dengan 1948 FL Harley-Davidson Custom.
Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 tahun ini dikuasakan oleh Petronas, menyaksikan 7 pembina khas bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) dan RM5,000.00 (pilihan awam). Keputusan dari pihak juri memihak kepada The Classic Garage dari Johor Bahru dan pilihan awam pula milik Carazee Artwork dari Klang.
Hot Wheels juga berada di AOS 2019 dengan Steve Vandervate, Pengurus Rekabentuk Global Hot Wheels sebagai tetamu undangan. Beliau hadir dari Amerika Syarikat untuk bertemu dengan peminat jenama kereta miniatur ini.Selain itu, beliau turut melancarkan siri Japan Historic 3, yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 di bawah tema Legendary Japanese Cars. Nissan Skyline R31 bersaiz sebenar dan Honda City Turbo II dipamerkan bersama prototaip diecast untuk tatapan pengunjung semasa acara berlangsung.
Antara sorotan khas di AOS 2019 adalah kolaborasi Hot Wheels dan Krome Bandits untuk edisi terhad Petronas. Hausboom dengan kerjasama Hot Wheels pula memberikan sebuah New Beetle Gen 1 sebagai hadiah kepada pembeli Hausboom yang bertuah. Jenama VANS memberi penghormatan kepada kasut Era dan klinik papan selaju, Hail Vintage dan NoEqual mengadakan Neat Fest di Dewan C, segmen forum Kustom & Koffee Talk oleh panel berpengalaman, pelancaran Harley-Davidson FXDR 114, perhimpunan Roda Rumble, perhimpunan Mini 60th Anniversary, dan lain-lain.
Satu perubahan besar dibuat penganjur adalah konsert Sound Circus yang dipindahkan ke kawasan luar yang lapang untuk memenuhi permintaan peminat muzik yang semakin meningkat angkanya. Antara barisan artis yang mengambil bahagian termasuklah Hujan, Bittersweet, Masdo, Gerhana Ska Cinta, Kapow, Asheed Def Gab C, Kid Search, Blues Gang dan banyak lagi.
Melengkapkan acara pada hari Ahad adalah sesi cabutan bertuah di mana seorang pemenang akan membawa pulang sebuah Mini Cooper yang diubahsuai dengan tambahan enjin Suzuki Hayabusa oleh FNG Works, dan ia dimenangi oleh Tham Wei Ping dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. Sementara pemenang kategori Best of Show akan memenangi pakej percutian ke acara 28th Annual Mooneyes Yokohama Hot Rod & Custom Show pada Disember ini sebagai tetamu khas.
Foto: Sufiyan Azlan / Last Hope