Gua masih ingat lagi, ketika mana Honda Malaysia bersungguh-sungguh mahu melancarkan model Civic FD2 Type-R pada tahun 2007. Kaget bener rasanya apabila dimaklumkan, Malaysia merupakan negara luar pertama yang menerima model Civic FD2R JDM ini untuk pasaran domestik. CBU baru siap warranty tuh, bukan recond punya. Itu pun selepas 15 tahun siri berprestasi tinggi yang khusus untuk masyarakat Jepon ini diperkenalkan.
Sekali imbas, rupanya taklah garing mana. Lebih kurang model Civic Type S Pagoh jugak, kecuali sentuhan kit badan yang lebih mari, rim 18-inci dan set brek Brembo. Bahagian dalam diberi kemasan kaler hitam/merah termasuk tempat duduk yang sangat selesa. Paling penting dah tentulah isi perutnya, yang hadir dengan enjin menjerit K20A i-VTEC.
Sejak itu, prestasi kereta ini mula meniti di bibir peminatnya. Lagi-lagi apabila ia diakui sebagai sedan sport pacuan depan terbaik pernah dihasilkan. Mana yang mampu, bolehlah tambah hutang sebanyak RM199,800 kat bank. Nasib baik masa tu takde GST lagi. Namun bagi mereka yang belum berkemampuan, memiliki sebuah model asas tentunya sudah memadai.
Tapi sampai bila? Tengok kereta milik Zaidi nih. Akibat pengaruh DVD yang kuat, takde sapa menduga yang ia sebenarnya sebuah Civic FD2R yang dibina. Gigih betol. Bab modal jangan citerlah, sama jer macam beli yang recond. Tapi bagi kaki kereta sejati, ia masih lagi berbaloi kerana boleh dilakukan dikit-dikit…
Untungnya, Civic FD2R tidak dibuat kembang seperti yang berlaku kepada model Skyline atau Evolution. Hampir 100% sama dan apa yang perlu Zaidi lakukan hanyalah menyalin kembali kit badan asal Civic FD2R kepada kereta ini. Nak bagi elok lagi, disertakan beberapa komponen jenis karbon fiber dari Feel’s seperti hood, grill, lip, diffuser serta spoiler.
Nampak kaliper Brembo kaler merah di sebalik rim 18-inci Enkei Sport RCT04 tuh? Itu pun Civic FD2R punya. Bagi membetulkan kembali sela bumi dan corak pengendalian, sistem gantungan kini menggunakan set suspensi boleh laras dari D2.
Misi melengkapkan kereta ini dengan perkakasan milik Civic FD2R, kemudiannya diteruskan ke bahagian dalam. Apa pun tak tinggal, lepas kesemuanya selamat disalin semula. Selain itu, disediakan juga sebijik stereng Momo Tuner, trim dashboard karbon fiber serta deretan meter Defi untuk tujuan pemantauan.
Takat luar ngan dalam jer gempak pun tak kena jugak. Jadi sedikit lagi modal diperlukan, untuk menukar kedudukan enjin asal dengan yang baru. Enjin i-VTEC jenis K20A semestinya pilihan utama, sebelum Zaidi menukar angin membina sesuatu yang lebih mari…
Seperti enjin Siri B, K20A juga berpotensi untuk dimajukan ke tahap maksimum. Menerusi backup yang kuat dari para tuner seluruh dunia, ia kini memiliki jumlah komponen berprestasi yang sangat-sangat meriah. Macam-macam setup pernah mereka hasilkan termasuk mencipta sendiri enjin Siri K, yang tak langsung pernah wujud dalam kamus Wikipedia.
Zaidi telah menggantikan blok enjin yang diperolehinya dengan blok K24A dari Odyssey Absolute. Ia kemudian dibesarkan sebanyak 1mm, untuk menempatkan piston Wiseco bersaiz 88mm, beserta conrod Brian Crower yang sesuai dengan saiznya. Bahagian kepala silinder diberi kerja-kerja port & polish, sebelum menerima set camshaft Skunk2 Stage III.
Bekalan udara dibawa masuk dari kit induksi HKS RSK, yang mengandungi sebuah penapis udara, paip ram dan pelindung haba dalam satu pakej. Ia akan bercampur dengan zarah-zarah petrol yang dipancitkan oleh set injektor Boss 660cc. Bagi memastikan kadar letusan yang sempurna, proses ini perlu ditala semula menggunakan perisian dari Hondata. Dari standard 222hp, ia kini dikatakan mampu mencatat kuasa sekitar 300 kekuda di atas roller. Memang kecut jugaklah kalau main tekan sebarang…!
Sehingga kini, gua masih memandang tinggi model Civic FD2R sebagai sebuah mesin idaman. Cuma kotak gear manual tu ajer membuatkan golongan separuh abad ni mengeluh panjang…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Zaidi
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic FD 1.8S
- Tahun – 2006
- Enjin Asal – R18A
- Modifikasi Enjin – K20A Civic FD2R, blok K24A Odyssey Absolute, piston Wiseco 88mm, conrod Brian Crower, port & polish, camshaft Skunk2 Stage III, cagak enjin Hasport, radiator aluminium Blox Engineering, kit induksi HKS RSK, pam petrol AVS 366, injektor Boss 660cc, ECU Hondata
- Transmisi – Kotak gear Civic FD2R, final drive 4.7, klac plet berkembar Competition Clutch
- Ekzos – J’s Racing Titanium
- Luaran – Kit badan Civic FD2R, komponen karbon fiber Feel’s
- Suspensi – D2
- Brek – Brembo Civic FD2R
- Rim & Tayar – Enkei Sport RCT04 18-inci & Yokohama AD08R 225/40ZR-18
- Dalaman – Salinan komponen Civic FD2R, stereng Momo Tuner, trim dashboard karbon fiber, meter Defi
- Bengkel – Fast Autoworks