Lebih 600 buah kereta, bukan sahaja dari Malaysia malah turut disertai Thailand dan Singapura telah menyertai satu lagi acara yang dinanti-nantikan segenap peminat kereta telah berlangsung baru-baru ini. Retro Havoc yang dianjurkan buat kali kedua untuk tahun ini turut dikenali sebagai Encore Edition.
Diadakan pada 30 Julai lalu di kawasan letak kereta tingkat bawah bangunan kompleks beli-belah The Curve Damansara, acara ini berjaya menarik perhatian peminat kereta khususnya kereta retro. Bukan itu sahaja, para pengunjung yang datang meluangkan masa berhujung minggu di sini turut tidak melepaskan peluang mengunjungi tapak acara.
Para pengunjung disambut barisan kereta di bahagian atas, sebelum memasuki tapak acara yang sebenar di bahagian tempat kereta di tingkat bawah. Barisan yang panjang dapat dilihat dari dalam bangunan kompleks beli-belah, ramai yang sanggup beratur untuk membeli tiket dan memasuki tapak acara. Para pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat kereta yang telah diubahsuai ini.
Bermacam-macam aksi dan ragam kereta yang bukan sahaja unik dan kreatif, malah mengujakan dapat dilihat sepanjang acara berlangsung. Deruman enjin disambut dentuman sistem audio, menggamatkan lagi suasana. Antara yang berjaya menarik perhatian ialah kereta yang diubahsuai seperti kereta yang digunakan dalam filem Back To The Future, Ghostbuster, Fast & Furios dan macam-macam lagi.
Sebagaimana yang disebut awal tadi, lebih 200 buah kereta dari Singapura dan Thailand dibawakan untuk memeriahkan lagi acara ini. Para peminat kereta klasik khususnya pasti teruja melihat deretan BMW 2002 yang didatangkan khas dari Thailand dengan pelbagai spesifikasi dan gaya yang unik.
Sumber : Sufiyan Azlan