Produk keluaran Proton ini diakui antara yang terbaik ketika ia diperkenalkan. Masa zaman tulah. Kalau ikut standard kereta moden sekarang, memang ketinggalan sangat. Diasaskan dari model Satria, ia kemudian diberi jolokan nama GTi sebagai simbol kepada kuasa dan prestasi.
Beberapa tahun selepas itu, bahagian permotoran Proton telah membangunkan pula model edisi terhad Satria R3. Ia tidak hanya melibatkan aspek estetika tapi turut menerima penambahbaikan dari segi pengendalian dan prestasi. Sejak itu, kedua-duanya menjadi asas ikutan kepada pemilik Satria untuk menghasilkan sesuatu yang mirip kepada model-model ini.
Lahir sebagai GTi, penampilan Satria milik Sanusi ini telah dinaik taraf menjadi R3, hasil pemilihan kaler hitam dengan jaluran badan pada sebagai identiti utama. Kemudian ada lip depan, getah sisi, serta spoiler gentian karbon dari R3. Termasuk dalam pakej ini adalah hood kustom Evo VI, cermin sisi Ganador, serta unit tailgate gentian karbon.
Untuk gaya lebih mengancam, keseluruhan ruang roda diisi rim Volk Racing TE37 berukuran 16-inci, berserta tayar Toyo Proxes T1R dari saiz 205/45R-16. Sistem gantungan pulak dibantu set suspensi boleh laras Tein Super Street. Sementara sektor hentian datang dengan kit brek Lancer GSR di bahagian depan, termasuk brek Evo III untuk belakang.
Enjin asal yang sudah sedia baik, tidak mampu memuaskan mereka yang berkaki berat. Lepas puas berkira-kira, Sanusi akhirnya nekad untuk memasukkan enjin 4G63T. Baru ada rasa katanya. Penukaran enjin ini datang dengan peningkatan yang setara, seperti penggunaan piston 2JZ 86mm, conrod BC, galas enjin King Racing, selain set injap Ferrea, camshaft BC, serta cam pulley Works Engineering di bahagian kepala silinder.
Keupayaan sistem pendesak dijana oleh turbo TD05 25G, yang menyorok di bawah manifold turbo Tonnka. Disertakan juga sebuah wastegate Turbosmart Hyper-Gate 45mm, untuk mengawal tekanan pada perumah turbo. Jumlah boost yang dihasilkan, seterusnya disejukkan oleh unit intercooler GReddy. Sebaik diterima masuk menerusi unit throttle body Super90, lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar melalui injap pelepas Tial.
Penyampaian bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor Sard berkapasiti 700cc. Untuk pembakaran yang efisyen, kuasa letusan datang dari kabel pencucuh Ultra. Memastikan perjalanan enjin ini sentiasa ditahap optimum, ia kini diselia sepenuhnya menggunakan unit ECU Haltech Sport 1000.
Kotak gear disalin dari Evo I, sebelum keupayaan pacuannya diperkukuhkan dengan set klac plet berkembar OS Giken. Sementara sistem ekzos telah dirombak semula menggunakan paip lurus kustom, sebelum dipadankan dengan peredam bunyi HKS.
Bahagian dalam didominasi oleh warna merah, selepas menerima set tempat duduk dan panel pintu Satria R3. Cuma dashboard je pakai Evo IV punya. Juga kelihatan, stereng Momo Tuner, tombol gear gentian karbon, karpet dan tali pinggang R3, meter tambahan Defi, serta unit paparan HKS EVC.
Dalam usaha memulih dan mengukuhkan semula kedudukan syarikat, Proton tidak lagi memberi tumpuan kepada sukan permotoran. Model baru yang menjurus ke arah itu pun takde. Harap ia tidak berpanjangan dan mampu kembali semula selepas ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Sanusi Abdul Kadir
- Pengeluar – Proton
- Model – Satria GTi
- Tahun – 2001
- Enjin asal – 4G93
- Modifikasi enjin – 4G63T Evo III, piston 2JZ 86mm, conrod BC, galas enjin King Racing, injap Ferrea, camshaft BC, cam pulley Works Engineering, penapis udara Blitz, turbo TD05 25G, manifold turbo Tonnka, wastegate Turbosmart Hyper-Gate 45mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, injap pelepas Tial, throttle body Super90, pam petrol Walbro, injektor Sard 700cc, regulator Tomei, kabel pencucuh Ultra, ECU Haltech Sport 1000
- Transmisi – Kotak gear manual Evo I, klac plet berkembar OS Giken
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler HKS
- Luaran – Kit badan Satria R3, hood kustom Evo VI, cermin sisi Ganador, tailgate gentian karbon
- Suspensi – Tein Super Street
- Brek – Lancer GSR (depan), Evo III (belakang)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 16-inci & Toyo Proxes T1R 205/45R-16
- Dalaman – Salinan komponen Satria R3, dashboard Evo IV, stereng Momo Tuner, meter Defi, HKS EVC
- Bengkel – Kuman Auto, Terengganu