Buat julung kalinya, Honda Malaysia telah membawakan model konsep Civic FK8 Type R Mugen, sempena pameran Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung di MAEPS Serdang baru-baru ini. Ia merupakan penampilan pertama model berkenaan di luar Jepun dan rantau ini amnya.
Civic FK8 Type R adalah model berprestasi yang masih mengekalkan DNA pemanduan menyeronokkan. Sehingga kini hampir 200 unit telah didaftarkan, sejak diperkenalkan pada tahun 2017. Dikuasakan oleh enjin VTEC Turbo 2.0-liter, ia mampu menghasilkan 310PS kuasa serta 400Nm tork maksimum.
Terdapat 12 komponen rekaan Mugen yang dikenakan ke atas kereta ini, di mana kesemuanya lebih bersifat kosmetik. Ia meliputi bahagian gril depan, lip depan, skirt sisi, diffuser belakang, lampu belakang LED, rim 20-inci, pelekat badan dan nat tayar. Manakala bahagian dalam menerima stereng, tombol gear, karpet dan plet sisi pintu.
Didatangkan dengan warna Carnival Red, Civic FK8 Type R Mugen Concept dijangka bakal mencetuskan keterujaan di kalangan peminatnya di sini.