Saya masih ingat zaman 1990-an dulu, waktu budak-budak kita mula berjinak-jinak membina kereta drag.
Waktu itu, tiada pengalaman, modal pun kecil. Jadi kereta drag ialah kereta buruk macam Proton Saga generasi pertama atau mana-mana kereta tinggalan datuk atau bapa yang diganti dengan enjin baru.
Kalau budak-budak Saga, sudah tentulah enjin VR4 menjadi pilihan sebab half-cut murah. Apabila masuk ke badan Saga, kereta rasa macam boleh terbang. Bagi geng kereta tarik belakang pula, enjin CA18 atau SR20 digunakan.
Kereta-kereta drag masa itu pun boleh dikatakan semuanya ialah kereta berdaftar di atas jalan. Ubah suai yang dibuat pun sebenarnya tak ada sangat pun. Badan kereta biasanya compang-camping dan berkarat.
Sesuai dengan perkembangan zaman, mekanik-mekanik yang bermula dari bawah pokok naik darjat kepada mekanik profesional bersama bengkel yang lengkap dengan peralatan canggih.
Kereta-kereta yang dibina untuk tujuan perlumbaan pun sudah semakin canggih. Malah, rata-ratanya kelihatan cukup cantik. Kadang-kala kalah kereta untuk bawa awek.
Bengkel CDRax Garage bermurah hati untuk berkongsi dengan kami kereta drag tersohor mereka. Bagi peminat perlumbaan drag, kereta ini pasti anda pernah tengok. Dalam perlumbaan drag, kuasa kuda tinggi, cengkaman tayar dan keringanan kereta menjadi keutamaan. Jadi proses membina kereta drag di mana-mana pun akan menggunakan formula yang sama.
Sebab itulah CDRax Garage memilih chasis Proton Satria 1.3 sebagai asas untuk projek ini. Chasis Proton Satria 1.3 katanya lebih ringan berbanding chasis 1.6 atau GTi kerana iamempunyai lebih banyak titik welding. Macam biasa, cesi Satria ni ditogelkan sepenuhnya dengan menanggalkan semua aksesori yang tak perlu macam karpet, tempat duduk, trimming plastik dan pengedap bunyi.
Enjin 4G13 asal Satria ini sudah tentu tidak boleh menjana kuasa tinggi, walaupun disumbat dengan turbo sebesar buah nangka. Jadi mekanik memilih enjin 4G63 daripada half-cut Evo III.
Spec enjin yang diberi, saya macam tak percaya sebab katanya kepala silinder dan blok enjin masih standard (kecuali saya perasan cam pulley dah guna barang daripada HKS).
Untuk enjin kecil menghasilkan kuasa yang tinggi, turbo asal enjin diganti dengan turbo Borg Warner. Ia disambung dengan enjin menggunakan manifold custom daripada Tonkka. Termasuk dalam pakej manifold ialah outlet untuk wastegate Tial jenis external.
Turbo itu terpaksa disejuk menggunakan intercooler lebih besar bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Bengkel ini menggunakan intercooler aftermarket yang mereka dapat daripada half-cut enjin Nissan RB25. Paip intercooler enjin pula ditempa daripada bahan keluli tahan karat yang juga menjadi port untuk meletakkan sebuah injap blow-off Tial.
Dari turbo, paip ekzos disambung menggunakan downpipe custom dan berakhir sampai bahagian tengah kereta. Tak payah nak guna peredam, bukan JPJ nak kacau pun. Untuk talaan enjin, bengkel menggunakan ECU Haltech 1000 yang mengawal campuran udara dan petrol yang masuk ke kebuk pembakaran enjin.
Bercakap pasal udara, enjin ni menggunakan intake manifold custom dengan throttle body jenis oversized yang sememangnya direka untuk menyedut seberapa banyak udara yang boleh. Untuk suapan petrol pula, sebuah pam bahan api Bosch 044 digunakan.
Satria yang bertanding di dalam kategori Kelas B diwajibkan menggunakan kotak gear pacuan dua roda. Kalau dah masuk 4WD, kereta ini kena bertanding untuk kategori Kelas A.
Pihak bengkel menggunakan kotak gear asal Evo yang dah dikunci menjadi 2WD. Klac itu bagaimanapun telah dipertingkat dengan klac jenis perlumbaan Quarter Master yang datang lengkap dengan flywheel.
Bengkel juga sudah mengubah suai kotak gear dengan fungsi LSD full lock yang cukup sesuai digunakan untuk perlumbaan macam ni dan menepati satu lagi piawai kereta drag iaitu cengkaman.
Sebut pasal cengkaman, kotak gear yang boleh menyalurkan kuasa daripada enjin ke roda dengan baik belum tentu boleh memberikan launching yang sempurna. Di sinilah peranan tayar cukup penting.
Pihak bengkel memilih sepasang tayar separa slick Toyo R888 bersaiz 225/50/16 untuk membalut rim Volk Racing CE28 bersaiz 16×8 inci kat bahagian depan. Tayar yang berkompaun lembut dan lebar di hadapan mampu memberi cengkaman yang baik ketika launching.
Tayar belakang yang ada semata-mata untuk memastikan kereta mempunyai empat tayar hanya menggunakan tayar Goodyear NCT5 bersaiz 165/45/15 yang membalut rim Volk Racing CE28 berdiameter 15 inci.
Untuk keselamatan dan kestabilan kereta, Satria ini dilengkapi penyerap hentak D2 boleh laras sepenuhnya. Di akhir pecutan 400 meter di atas litar lumba, pemandu memberhentikan kereta ini dengan sistem brek standard Evo III.
Di bahagian dalam, cuma ada papan pemuka Evo, stereng Sparco, meter-meter dari ZerOne dan tempat duduk bucket penuh Recaro SPG. Untuk bahagian luar, Satria ni disalin dengan bodykit Evo III bersama-sama fender widebody dan bampar depan HKS Kansai 3.
Ia bukan saja lawa, tapi sebenarnya lebih ringan berbanding barang asal Satria. Sebuah spoiler aero dipasang kat bahagian belakang kereta bagi memotong angin dan menstabilkan kereta pada kelajuan yang tinggi.
Kereta drag tempatan sebenarnya dah berkembang menjadi setaraf dengan kereta-kereta drag dari negara luar walaupun kita kekurangan trek untuk perlumbaan. Cuba bayangkan kalau tiap-tiap negeri kat Malaysia ada litar dragnya yang sendiri?
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ