PROTON memohon kerjasama pemilik Proton Perdana supaya mengunjungi pusat servis Proton secepat mungkin untuk menggantikan inflator beg udara. Kempen itu hanya melibatkan model yang dibina antara tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018 sahaja. Servis tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta yang dilengkapi beg udara Takata.
Langkah berkenaan selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan inflator beg udara diganti. PROTON telah memulakan proses penggantian sejak Januari 2019.
“Hasil kerjasama kakitangan dan pengedar PROTON, kami telah berjaya menghubungi pelanggan dan menggantikan inflator beg udara. Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas. Setakat 18 Ogos 2020, sebanyak 5,625 unit atau 87.5% sudah menjalani proses penukaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.
PROTON ingin menegaskan bahawa proses itu tidak melibatkan mana-mana model Proton lain kerana beg udara yang digunakan dibekalkan oleh pembekal berbeza. Keselamatan para pelanggan merupakan keutamaan bagi syarikat. Jadi, kawalan ketat telah diambil untuk memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku. PROTON memohon maaf ke atas sebarang kesulitan.
“Kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab ada maklumat mereka yang tidak lengkap. Oleh itu, kami ingin menyeru semua yang masih belum mengganti inflator beg udara supaya menghubungi pusat servis untuk membuat temu janji segera.
“Penukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam dan tidak akan dikenakan apa-apa bayaran,” jelas Roslan.
Maklumat lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1-800-888-398 atau e-mel [email protected]
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ