Jarang program permotoran diadakan di Dataran Ipoh, namun penganjuran PortFest Autoshow 2023 berjaya menghimpunkan para peminat dunia permotoran sama ada kereta mahupun motor yang dari serata Malaysia. Dianjurkan oleh PORT, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari program berlangsung.
Diadakan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Ogos lalu, program ini berjaya mencuri tumpuan dan menghimpunkan para pencinta dunia permotoran khususnya modifikasi dari seluruh negara. Bagi menghangatkan lagi tapak acara, Port Ipoh telah mengundang Geng Autoshow Perak (GAP) sebagai penyelaras program untuk segmen Autoshow dan juga Audioshow.
Sebanyak 70 buah kereta Autoshow dan 20 Audioshow telah hadir sebagai peniup semangat dan rata-ratanya datang dari Selangor, Kuala Lumpur, Perlis, Pulau Pinang serta negeri Perak sendiri. Kehadiran ini sekali gus membuktikan sokongan padu masih lagi diterima dari para pencinta dunia permotoran terutamanya para penggemar serta penggiat modifikasi motor dan juga kereta.
Segmen Autoshow ini dipecahkan kepada beberapa kategori utama iaitu Proton Standard Modified, Perodua Standard Modified, Open Extreme, Open Standard. Open MDM, Open 2 Woofer dan Open 4 Woofer. Diikuti kategori tambahan iaitu Best VIP, Best Colour, Best Sticker, Best Sunroof, Best Sport Rim, Best Engine Bay, Best Hello Kitty, Best Interior, Best Oldskool, Best Classic, Best MPV, Best JDM, Best Of The Best Autoshow dan Best Off The Best Audio.
Selain itu, Dataran Ipoh ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan street dance, demonstrasi lukisan grafiti, pameran dan pertandingan motor klasik, pameran basikal klasik dan persembahan busker. Tidak ketinggalan, konsert PortFest yang dibarisi artis-artis terkenal tanah air seperti XPDC, Gerhana Ska Cinta dan ramai lagi.