Sime Darby Auto Performance semalam melancarkan model Porsche Panamera 2021 malam semalam menerusi laman web dan Facebook rasminya miliknya. Harga yang ditawarkan bermula RM1,026,735 termasuk pengecualian cukai SST.
Didatangkan dalam satu varian entry level sahaja, jentera itu dikuasakan enjin V6 turbo berkembar bersesaran 2.9 liter. Mampu menjana sehingga 330PS dan 450Nm pada 1,800 hingga 5,000rpm, kuasa itu kemudian disalukan ke roda menerusi kotak gear klac berkembar PDK 8-kelajuan. Rangkaian kuasa itu membolehkan Panamera mencatat pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat dengan kelajuan maksimum 270km/j.
Boleh menempatkan empat orang penumpang, aspek pengendalian yang selesa dan dinamik disumbangkan oleh suspensi adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM), penstabil olengan elektronik, sistem stereng elektromekanikal, serta cagak enjin dan gandar. Seperti yang boleh dilihat, model facelift itu mengekalkan DNA rekaannya yang sudah cukup dikenali. Kali ini, Panamera tampil dengan reka bentuk Sport Design di hadapan menerusi lampu utama jenis matrix LED bersama empat butiran LED dan corong kemasukan udara sisi yang besar.
Bahagian belakang pula diserlahkan dengan bar lampu LED yang memanjang dari kiri ke kanan bersama empat tip ekzos. Ruang kabin saloon eksekutif berkenaan menggunakan material berkualiti tinggi bersama rekaan dan susun atur yang sporty. Jentera itu kini mengabungkan penggunaan stereng baharu dan sistem infohibur moden dengan harmoni. Buat pertama kalinya, aplikasi Porsche Connect ditawarkan pada Panamera di Malaysia. Aplikasi tersebut menjanjikan rangkaian perkhidmatan komprehensif dan ketersambungan dalam talian yang lancar.
Panamera dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti Lane Keeping Assist dengan pengecaman papan tanda jalan, Night Vsion Assist, Lane Change Assist, PDLS Plus, Park Assist bersama Surround View serta head-up display. Tugas membrek diserahkan kepada sistem brek yang terdiri daripada angkup aluminium monobloc enam omboh dan rotor 350mm di hadapan. Manakala roda belakang pula dipasang dengan angkup aluminium monoblok empat omboh dengan rotor 330mm.
Pelanggan boleh memilih daripada 10 rekaan rim bersaiz 19, 20 dan 21 inci. Ia dibalut tayar yang menggunakan kompaun getah lembut tetapi mampu menawarkan rintangan golekan rendah. Saiz tayar yang menggabungkan aspek pemanduan sporty dan selesa itu untuk saiz rim 19 inci ialah 265/45 di hadapan dan 295/40 di belakang.
Sumber : Mekanika