Dalam usaha mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian serta memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya, Persatuan Insurans Am Malaysia dan Malaysian Takaful Association (MTA) berganding bahu mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Seluruh Negara PIAM-MTA 2022 selama setahun di Kuala Lumpur.
Bertemakan #steadybrader, ia diharapkan dapat memberi pengetahuan dan dalam masa yang sama mempromosikan tingkah laku pemanduan yang lebih selamat dan menggalakkan pengguna jalan raya kekal bertenang ketika memandu atau menunggang kenderaan. Dengan adanya kempen ini, kedua-dua PIAM dan MTA berharap kemalangan jalan raya serta kematian akan berkurangan.
Ketika majlis pelancaran kempen ini, En. Antony Lee, pengerusi PIAM dalam ucapan pembukaannya berkata, menurut WHO, sekurang-kurangnya 1.25 juta orang terkorban setiap tahun akibat kemalangan jalan raya. Ia juga merupakan penyebab kematian nombor 1 di kalangan golongan muda berusia sekitar 15 sehingga 29 tahun.
Menjelang tahun 2030, WHO menjangkakan kecederaan yang disebabkan jalan raya akan meningkat menjadi penyebab kematian yang kelima selepas penyakit jantung dan lain-lain penyakit berbahaya lain. Jumlah ini secara tindak langsung menunjukkan masalah ini sangat serius dan perlu ditangani segera bagi menyelamatkan ribuan nyawa.
Menurut pengerusi PIAM lagi, kemalangan jalan raya kekal mencatatkan kes tinggi di Malaysia. Statistik yang dikeluarkan pada tahun 2019 menunjukkan sebanyak 6,167 kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Sebanyak 17 kematian setiap hari dicatatkan. Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, lebih 80% kemalangan berpunca dari kecuaian.
Sepanjang kempen berlangsung, PIAM dan MTA telah mengeluarkan siri aktiviti yang bakal dilaksanakan;
● Mengekalkan program kesedaran tentang keselamatan jalan raya menggunakan media digital;
● Siri kuiz pengetahuan tentang keselamatan jalan raya;
● Inisiatif komuniti menggunakan permainan; dan
● Program kolaborasi dengan agensi kerajaan dan syarikat-syarikat yang mempunyai harapan dan visi yang sama tentang jalan raya yang lebih selamat.
Kempen ini telah dilancarkan oleh YBhg. Datuk Lokman bin Jamaan, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).