Sebelum muncul dengan Cayenne Porsche baharu untuk model 2023, pengeluar dari Jerman mengeluarkan Cayenne Platinum Edition yang kini sudah pun didedahkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia merupakan edisi kedua untuk model tahun 2022 selepas Panamera Platinum Edition.
SUV Cayenne ini didatangkan dengan kemasan 4 varian ekslusif bersama beberapa penambahan untuk memisahkan ia dengan ciri-ciri standard berbanding Cayenne yang pernah dikeluarkan sebelum ini. Bagi rekaannya pula, Cayenne Platinum Edition ini dilengkapi dengan perincian dalam warna Satin Platinum yang boleh ditemui pada logo Porsche yang diintegrasikan dengan taillight LED.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan rim 21-inci RS Spyder dengan kemasan Satin Platinum dan ianya eksklusif untuk model edisi terhad. Penambahan untuk bahagian eksterior termasuk tailpipe hitam dan juga trim cermin high-gloss berwarna hitam.
Bagi makluman, Cayenne Platinum Edition ini ditawarkan dalam dua warna pilihan; hitam dan putih bersama warna metalik seperti Jet Black, Carrara White, Mahogany, Moonlight Blue dan juga warna istimewa yang digelar sebagai Chalk. Bahagian dalam pula, Platinum Edition ini memisahkannya daripada Cayenne biasa dengan pengikat tali pinggang aluminium dengan perkataan Platinum Edition.
Bahagian kabin juga dikemaskan dengan tekstur aluminium. Selain itu, Porsche turut menawarkan pilihan kustom untuk model Platinum Edition, kedua-duanya untuk bahagian interior dan eksterior. Beberapa ciri standard yang lain termasuk headlight LED dengan sistem Dynamic Light Porsche, Panaromic Roof, Bose Surround Sound System, warna lampu ambien dan juga tempat duduk sport yang boleh dilaras dalam 8-cara.
Sumber : Motor1