Mungkin dunia audio kereta bergerak agak perlahan terutamanya selepas ‘kehadiran’ pandemik yang bukan sahaja melanda Malaysia malah seluruh dunia. Sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan ada perubahan positif dan sedikit demi sedikit, dunia audio mula bernafas kembali dan menunjukkan perkembangan yang baik.
Baru-baru ini telah berlangsungnya satu program yang menghimpunkan para peminat dan penggiat audio di bawah satu bumbung. Program yang dimaksudkan, Easy Car Audio Tutorial. Diadakan di Faith Harvest yang berlokasi di Bandar Bukit Tinggi, program ini turut dihadiri beberapa tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam industri audio kereta di Malaysia.
Antara yang memberi ucapan pada program yang berlangsung dari pukul 11 pagi dan berakhir sekitar pukul 6.00 petang itu ialah pengasas NTC, Mr Ng. Para peserta berpeluang mendengar taklimat dari sudut teknikal dengan perkongsian seorang lagi tokoh audio yang disegani dan dikenali khususnya dalam kalangan penggiat audio iaitu Mr BL Chong. Turut berkongsikan pengalaman adalah Jonathan Han, David, Victor dan ramai lagi.
Semoga program tutorial seperti ini lebih kerap diadakan di masa akan datang bagi memberi peluang juga ruang kepada para peminat audio khususnya yang baru berjinak-jinak agar dapat menimba ilmu serta menambah pengetahuan.