Continental Tyres, pengeluar tayar terkemuka Jerman, menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian digital Conti360º kepada pengendali kenderaan fleet komersial bagi membolehkan mereka menguruskan tayar kenderaan dengan lebih cekap sambil mengurangkan kos minyak dan jarak perjalanan tayar.
Pengendali kenderaan komersial menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan fleet bersaiz besar. Mereka sentiasa perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, kos operasi diminimumkan, serta penghantaran barangan yang menepati masa. Dalam pada itu, tayar khususnya memainkan peranan penting bagi mencapai tujuan ini. Tekanan angin yang sesuai akan menjamin tahap penggunaan minyak yang terbaik, jarak perjalanan yang optimum, serta meningkatkan nilai selongsong tayar (casing value).
Kajian yang dilakukan oleh Continental di Malaysia menunjukkan bahawa 20% tayar kenderaan fleet mempunyai tekanan angin jauh lebih rendah daripada yang diperlukan, manakala 38% lagi adalah pada tekanan angin lebih rendah yang sederhana. Keadaan ini bukan sahaja dapat menyebabkan kerosakan tayar dan pembaziran dari segi jarak perjalanan tayar serta minyak, tetapi keadaan ini juga meningkatkan risiko kerosakan tayar di jalan raya. Continental menganggarkan bahawa kenderaan yang berjalan sejauh 100,000km dengan tayar yang kekurangan 10% tekanan angin akan meningkatkan kos minyak dan kos jarak perjalanan sehingga RM3,100 setiap tahun.
Conti360º menawarkan 3 perkhidmatan & penyelesaian kepada pengendali fleet untuk menangani pelbagai cabaran
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), salah satu daripada lima faktor utama berlakunya kemalangan yang membabitkan Kenderaan Komersial Berat adalah berkaitan dengan masalah tayar. Sehubungan itu, Conti360º menawarkan rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang komprehensif bagi membantu pengendali fleet komersial menangani cabaran pengurusan tayar supaya mereka dapat menumpukan fokus pada perniagaan mereka.
Conti360º menawarkan tiga jenis perkhidmatan dan penyelesaian iaitu Perkhidmatan Teras, Perkhidmatan Lanjutan dan Penyelesaian Digital, merangkumi pelbagai penyelesaian termasuk latihan, perkhidmatan sokongan di lokasi, dan pemantauan tayar secara masa serentak bagi membantu pengurus fleet meningkatkan kecekapan operasi.
Menerusi Perkhidmatan Teras Conti360º, pasukan teknikal Continental akan menganalisis keadaan tayar untuk membekalkan maklumat terperinci tentang prestasi tayar, amalan terbaik yang dilakukan oleh industri tentang penyelenggaraan dan pengendalian tayar yang cekap, serta latihan khusus untuk pemandu. Modul latihan tersebut tertumpu kepada kepentingan tabiat memandu, pengendalian tayar yang cekap dan tabiat penyelenggaraan tayar, serta keutamaan untuk mengekalkan tekanan angin pada tahap yang sesuai.
Dengan Perkhidmatan Lanjutan Conti360º, pengendali fleet dapat melakukan permeriksasan komprehensif kesihatan tayar melalui ContiFleetCheck, di mana pasukan teknikal Continental akan menjalankan pemeriksaan rutin dengan peralatan digital canggih, yang akan menyampaikan data kepada sistem maklumat untuk memperolehi analisis keadaan tayar, seperti tekanan angin dan kedalaman bunga tayar. Perkhidmatan secara langsung ini membolehkan pengurus fleet mengetahui keadaan keseluruhan dan terperinci tentang kecekapan tayar, termasuk mengenal pasti punca lazim kerosakkan tayar dan cara untuk mengurangkan kos, dan sekali gus mencadangkan langkah untuk memanjangkan jangka hayat tayar.
Penyelesaian Digital Conti360º pula merupakan penyelesaian automasi menyeluruh yang melengkapkan sensor pada tayar kenderaan bagi memantau penggunaan tayar di jalan raya sepanjang masa. Pengendali fleet akan menerima makluman menerusi portal dalam talian serta paparan análisis tentang kebarangkalian tayar pancit, kehilangan tekanan angin, kedalaman bunga tayar dan sebagainya, bagi membantu mereka mengendalikan tayar, memanjangkan jangka hayat tayar dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Kurangkan kos minyak, tingkatkan jarak perjalanan tayar dan juga keselamatan kenderaan
“Meskipun tayar hanya menyumbang 5% kepada kos fleet, ia mempengaruhi sekitar 50% kos operasi fleet menerusi penggunaan minyak, pembaikan & penyelenggaraan serta pengurusan. Justeru itu, Conti360º diperkenalkan khas untuk mengurangkan kos tersebut dengan tiga rangkaian perkhidmatan dan penyelesaian yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan kami, bergantung pada saiz fleet dan keadaan operasi mereka. Pelanggan yang telahpun menggunakan Conti360º memperoleh penjimatan kos minyak sehingga 3% dan peningkatan jarak perjalanan tayar sebanyak 20%, di samping menikmati peningkatan yang ketara dalam keselamatan kenderaan dan pemandu,” kata Winson Khoo Han Kee, Pengurus Jualan Nasional Trak Tayar di Continental Malaysia.
Menurut Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, perhubungan antara syarikat tayar komersial dan pelanggannya kebiasaannya merangkumi urusan jual-beli semata-matanya; manakala Continental berazam untuk melangkaui batasan ini dengan memberi perkhidmatan yang berasaskan teknologi dan lebih bernilai tinggi, serta menjalinkan hubungan berteraskan keperluan pelanggan fleet komersial.
“Teknologi Conti360º akan membantu pelanggan kami memaksimumkan pelaburan pada tayar, sambil meraih manfaat daripada sokongan teknikal selepas jualan dan pemantauan prestasi jangka panjang. Penyelesaian Conti360º merupakan langkah baharu kepada operasi pengurusan fleet. Pelaburan kami untuk membangunkan teknologi ini mencerminkan komitmen berterusan kami kepada pelanggan fleet dan komersial kami, bagi membantu mereka menangani cabaran dan mencapai matlamat perniagaan yang lebih mantap,” katanya.